Welcome to my Blog

Welcome to my Weblog. This site is dedicated to publishing my writings as and when I am able to pen my thoughts and opinions.Interested parties, including the Press, may reproduce or quote materials published with the condition that they are credited tfrom me. Comments must be accompanied by names and contact. Anonymous postings and those containing profanities and obscenities will be rejected.

Salam pengenalan buat semua

Semoga keujudan blog ini akan memberikan ruang untuk kita sebagai pemimpin diperingkat akar umbi untuk bertukar pandangan dan pengalaman dalam menangai isu-isu semasa kemasyarakat ditempat masing-masing. Tuan/puan mungkin pimpinan kerdil diperingkat bawahan, samada diluar bandar atau pekan kecil, didaerah mahu pun bandar, jangan lupa bahawa anda mempunyai peranan tertentu dalam merobah pemikiran rakyat.

Bersamalah kita berazam untuk meninggikan mutu kehidupan dan kefahaman penduduk dalam sesebuah masyarakat itu menangani cabaran alaf baru. Semoga komuniti kita akan menjadi tempat yang menarik, maju dan menguntungkan buat semua penduduknya.anda boleh berkomunikasi dengan saya menerusi email peribadi di mzha@hotmail.com atau hubungi saya terus menerusi 019-2764133

capaian

Isnin, 30 Mei 2011

Politik dan Perspektif Pengundi Muda

Politik dan Perspektif Pengundi Muda

UNJURAN Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2010 bagi jumlah belia berumur 15 hingga 39 tahun ialah seramai 11,614,735 orang atau 43 peratus daripada populasi rakyat di Malaysia. 

Sehingga Disember 2010, seramai 11,811,452 yang berusia 21 tahun ke atas sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), manakala pengundi yang berusia 21 hingga 39 tahun mencecah 40 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan.
Ini menjadikan golongan belia menjadi kelompok yang penting untuk diberi perhatian kerana ia berkait rapat dengan masa depan negara. 


Imam al-Ghazali pernah menyatakan: “Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah keadaan generasi mudanya yang ada sekarang.” Secara tidak langsung kelompok ini bukan saja boleh menjadi rakan pembangunan negara tetapi juga sebaliknya. 

Golongan belia tentunya membawa pola dan tingkah laku politik berbeza. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang lalu, saluran orang muda dikatakan penyebab tsunami politik di lima negeri yang terlepas ke pakatan pembangkang. 

Walaupun trend itu dikatakan berubah dalam siri pilihan raya kecil kebelakangan ini, namun dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak, tingkah laku politik orang muda berbeza mengikut geopolitik kawasan. 

Ada dua aspek utama yang membentuk pola politik pengundi muda. Pertama, tahap pendidikan dan yang kedua pengaruh media sosial. Boleh dikatakan majoriti pengundi muda mendapat pendidikan minimum pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini bermakna mereka berada dalam ruang lingkup pengaruh pendidikan formal sehingga 11 tahun dalam kehidupan sebelum mereka mengundi. Ia semakin melebar sekiranya mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. 
Pendidikan mengasah ketajaman daya fikir. Kebanjiran maklumat menerusi internet dan televisyen satelit menyebabkan sesuatu isu yang menyentuh kepentingan dan peranan anak muda akan dibuat perbandingan senario dalam negara dan antarabangsa. Keterbukaan dan pendedahan maklumat ini sudah tentu menuntut pendekatan yang berbeza dalam mengurus isu yang berkaitan dengan anak muda. 

Pengaruh media sosial seperti blog, Facebook dan Twitter mempengaruhi persepsi anak muda. Media sosial biar pun tidak bersemuka, namun atas sifatnya yang segera, kos murah, tanpa tapisan dan kesukaran pendakwaan undang-undang menyebabkan maklumat masuk ke gajet elektronik bertali arus dan akhirnya membina pengaruh. Siapa yang lebih kerap menghantar maklumat akan lebih berpeluang untuk mempengaruhi. Sesuatu perkara jika diasak berkali-kali, akan diyakini benar. 

Apakah keperluan kehidupan anak muda? Isu anak muda berkaitan dengan 4P – Pendidikan, Pekerjaan, Pendapatan dan Perumahan. Bagaimana mereka mendapat peluang dan inisiatif untuk mereka melanjutkan pelajaran dengan kos yang minimum, dengan pendidikan yang sempurna bolehkah mereka mendapat peluang pekerjaan dan dengan pekerjaan mereka akan mempunyai pendapatan untuk menyara kehidupan dan peluang memiliki rumah sebagai tempat berlindung dan status sosial. Model Baru Ekonomi (MBE) bertujuan meningkatkan pendapatan tahunan perkapita sebanyak AS$7,000 kepada AS$15,000. Tentunya hasrat murni ini perlu mengambil kira peluang anak-anak muda untuk turut sama meningkatkan pendapatan. 

Atas alasan apa jua dasar dan pelan pembaharuan diperkenalkan kerajaan mestilah dirasai oleh anak muda dari Perlis sampailah ke Sabah. Dalam Bajet 2011, Perdana Menteri sudah memperkenalkan inisiatif Skim Rumah Pertamaku (SRPK) dengan memberi pinjaman 100 peratus kepada golongan muda yang berpendapatan RM3,000. Skim ini membenarkan golongan muda berumur 35 tahun ke bawah memiliki rumah berharga antara RM100,000 hingga RM220,000. 

Dalam perkiraan mudah dengan rumah mampu milik dan selesa dengan harga RM200,000 dan tempoh bayaran 25 tahun, peminjam akan membayar RM1,000 sebulan. Jika diambil perkiraan 25 peratus daripada pendapatan, maka peminjam mestilah berpendapatan RM4,000. Berapa ramaikah anak muda terutama di kampung yang mempunyai pendapatan seperti itu? 

Pandangan anak muda mengenai politik lebih terbuka dan ia diadun antara politik keperluan dan politik idealisme. Mereka mahukan isu 4P yang berkaitan dengan kelangsungan hidup diambil berat oleh kerajaan dan mereka juga mahu negara ini diurus tadbir dengan sempurna seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. 

Oleh sebab itu kelangsungan hidup anak muda bukan saja memerlukan inisiatif daripada kerajaan kerana yang lebih penting ialah persediaan sikap dan minda anak muda dalam berhadapan dengan persekitaran yang semakin mencabar. Kerajaan demi kelangsungan kuasa tentunya akan menguruskan isu berkaitan anak muda, namun yang lebih penting ialah anak muda juga mesti berusaha membantu diri mereka sendiri. 

Tiada ulasan: