Welcome to my Blog

Welcome to my Weblog. This site is dedicated to publishing my writings as and when I am able to pen my thoughts and opinions.Interested parties, including the Press, may reproduce or quote materials published with the condition that they are credited tfrom me. Comments must be accompanied by names and contact. Anonymous postings and those containing profanities and obscenities will be rejected.

Salam pengenalan buat semua

Semoga keujudan blog ini akan memberikan ruang untuk kita sebagai pemimpin diperingkat akar umbi untuk bertukar pandangan dan pengalaman dalam menangai isu-isu semasa kemasyarakat ditempat masing-masing. Tuan/puan mungkin pimpinan kerdil diperingkat bawahan, samada diluar bandar atau pekan kecil, didaerah mahu pun bandar, jangan lupa bahawa anda mempunyai peranan tertentu dalam merobah pemikiran rakyat.

Bersamalah kita berazam untuk meninggikan mutu kehidupan dan kefahaman penduduk dalam sesebuah masyarakat itu menangani cabaran alaf baru. Semoga komuniti kita akan menjadi tempat yang menarik, maju dan menguntungkan buat semua penduduknya.anda boleh berkomunikasi dengan saya menerusi email peribadi di mzha@hotmail.com atau hubungi saya terus menerusi 019-2764133

capaian

Khamis, 12 Mei 2011

Umno perlu pemikiran politik progresif

Petikan komen YB Dato Saifuddin Abdullah,  Member Of Parliament for Temerloh constituency. Currently, he serves the Ministry of Higher Education as Deputy Minister under the new People's Cabinet.
Dalam menyambut ulang tahunnya yang ke-65, fokus Umno tentulah menghadapi pilihan raya umum ke-13. Dalam konteks ini, tentulah jenteranya perlu dipersiapkan dengan selengkap-lengkapnya dan semantap-mantapnya. Namun demikian, pengalaman politik mutakhir memberi kita iktibar bahawa di samping persiapan bentuk konvensional, kita juga perlu melakukan persiapan bentuk kontemporarial.
Di tengah-tengah realiti politik kontemporari yang serba memungkinkan ini, antara lain, Umno perlu melihat dengan serius faktor yang melibatkan sesetengah rakyat, terutamanya golongan berpendidikan, intelektual dan orang muda yang menolak Umno kerana melihatnya sebagai parti yang ketinggalan dari segi pemikiran politiknya.
Memang Umno bukan parti yang punya ideologi. Dan, saya tidak menyarankan agar Umno dengan tiba-tiba sahaja menggubal satu ideologi. Tetapi, ini tidak bermakna sampai Umno tidak mempunyai pemikiran politik tentang demokrasi, konsep penghakupayaan, maksud partisipasi, cara-cara menjadi kerajaan, kesaksamaan gender, pembangunan lestari dan sebagainya.
Kita perlu menerima hakikat bahawa landskap politik telah berubah. Perubahan ini berlaku bukan kerana pilihan raya umum ke-12 atau semasa pilihan raya umum ke-12. Sebenarnya, perubahan ini telah berlaku sejak terbitnya milenium baru ini. Faktor-faktor yang mempengaruhi perubahan ini banyak. Antaranya ialah globalisasi, liberalisasi, k-ekonomi, kemajuan ICT, kemunculan generasi Y, pengembangan idea tentang alam sekitar dan lain-lain lagi.
Ini menyebabkan peranan dan fungsi negara-bangsa dan kerajaan telah berubah. Ini juga menyebabkan corak, cara dan citra politik dan demokrasi turut berubah. Kerana itu, beberapa bentuk pemikiran politik yang baru telah mula muncul.
Antara pemikir politik kontemporari yang penting ialah pensyarah London School of Economics, Anthony Giddens, yang terkenal dengan bukunya, The Third Way (1998) dan The Third Way and its Critics (2000). Pemikirannya telah mempengaruhi banyak perdebatan tentang amalan demokrasi hari ini.
Giddens dianggap guru politik kepada Perdana Menteri Tony Blair dan mempunyai impak besar terhadap kelahiran “New Labour” di UK. Apa yang kurang diketahui ialah bahawa Giddens juga mempengaruhi pemikiran Presiden Bill Clinton iaitu tokoh “New Democrat” yang paling terkenal dari Amerika Syarikat. Di samping itu, Giddens turut diminati pemimpin-pemimpin seperti Gerhard Schroder, Wim Kok dan Massimo D’Alema.
Dalam kata sambutan terhadap buku Giddens (2000), Presiden Brazil, Fernando Henrique Cardoso menyatakan bahawa debat The Third Way telah sampai ke peringkat dunia dari segi penyatuan idea-idea dan kepelbagaian dasar-dasar. Presiden Suruhanjaya Eropah, Romano Prodi pula menyatakan bahawa Giddens telah menyediakan petunjuk penting dalam mencapai pemikiran baru tentang demokrasi dan pembangunan ekonomi yang diperlukan oleh Kesatuan Eropah.
Saya tidak menganjurkan agar Umno menggunakan pemikiran Giddens. Tetapi, Umno perlu cakna akan pemikiran-pemikiran politik kontemporari yang berpengaruh, tidak kiralah oleh Giddens atau oleh pemikir yang lain.
Saya mencuba dengan mengetengahkan gagasan Politik Baru.
Di samping dua komponennya iaitu integriti politik dan kerangka 'governans' baru, Politik Baru juga meliputi dua elemen lain iaitu inovasi demokrasi dan pemikiran politik progresif. Pada saya, apa yang penting ialah Umno perlu membina, mengembang dan menyebarkan pemikiran politiknya yang tersendiri tentang apa-apa yang berlaku dalam negara dan di peringkat antarabangsa. Kita perlu memberikan tafsiran kita tentang mengapa sesuatu itu terjadi. Kita perlu memberikan kupasan tentang mengapa sesuatu tindakan dan keputusan kita lakukan sama ada sebagai parti atau sebagai kerajaan.
Kenyataan biasa, misalnya, “ini adalah bukti kerajaan prihatin terhadap keperluan rakyat”, tidak lagi menarik imaginasi sebahagian daripada rakyat. Penerangan biasa, misalnya, “keadaan di negara kita adalah lebih baik daripada negara lain” tidak lagi menarik aspirasi sebahagian daripada rakyat. Malahan, ayat-ayat yang biasa, misalnya “rakyat perlu berterima kasih kepada kerajaan”, kini telah diketawakan oleh sebahagian rakyat.
Prinsip perjuangan Umno iaitu berjuang demi agama, bangsa dan negara adalah suci dan perlu diteruskan. Tetapi, dalam suasana landskap politik yang telah berubah ini, ia perlu disampaikan, diterangkan dan dipopularkan dengan pendekatan yang sesuai dengan suasana yang baru ini. Prinsip perjuangan ini perlu didefinisikan semula dan diposisikan semula agar Umno sentiasa kelihatan segar dan mekar di tengah-tengah landskap politik yang baru dan sentiasa berubah ini.
Apa yang saya maksudkan dengan pemikiran politik progresif ialah, contohnya Umno perlu memberi pengisian terhadap gagasan 1 Malaysia sebagai mencerna idea masyarakat baik. Masyarakat baik perlu punya terasnya. Antara terasnya ialah budaya ilmu, pembinaan tamadun, partisipasi demokratik, perkongsian ekonomi, keadilan sosial dan kelestarian alam sekitar. Pemikiran ini perlu dilakukan untuk pembangunan di pelbagai peringkat iaitu kebangsaan, negeri dan tempatan. Satu contoh pemikiran politik progresif yang praktikal ialah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Ini berlaku di peringkat kebangsaan. Di peringkat tempatan, sebagai Ahli Parlimen Temerloh, saya menggerakkan Bidang Keberhasilan Utama Temerloh (TKRA).
Dalam konteks Model Baru Ekonomi, antara lain, Umno perlu mencadangkan kepada kerajaan apakah langkah afirmatif baru yang perlu dilaksanakan untuk membantu 40 peratus daripada rakyat yang terendah pendapatannya. Dalam konteks ini, keusahawanan sosial adalah pendekatan yang sesuai. Satu daripada kelemahan utama kerajaan hari ini ialah di peringkat kerajaan tempatan. Justeru, masanya telah tiba untuk Umno mempelopori pemikiran politik progresif dari segi “pembangunan komuniti tempatan”. Ia adalah dasar dan program pembangunan yang dihasilkan sendiri oleh komuniti tempatan. Matlamatnya ialah dengan menghakupayakan komuniti tempatan untuk merancang, melaksana dan menilai pembangunan yang penting dan sesuai untuk kepentingannya, yang bersesuaian dengan dasar dan program pembangunan negeri dan kebangsaan.
Pembangunan komuniti tempatan dapat dilaksanakan dengan penghayatan “ciri-ciri komuniti mikro”: keprihatinan, kesukarelaan, ikatan kepercayaan, perkongsian nilai-nilai, tanggungjawab bersama dan kerjasama ikhlas.
Kini, pengharapan rakyat semakin kompleks. Inisiatif Putrajaya sahaja tidak memadai. Perlu ada inisiatif Umno yang lahir daripada ibu pejabat Umno. Justeru, Umno perlu mempunyai pemikiran politik progresifnya untuk diperlihatkan melalui manifestonya dalam pilihan raya umum ke-13.

(disiarkan di www.themalaysianinsider.com)

Isnin, 9 Mei 2011

HOMESTAY MALAYSIA RAYA: Lokasi Kami

HOMESTAY MALAYSIA RAYA: Lokasi Kami: "http://maps.google.com.my/maps?f=q&source=s_q&hl=en&geocode=&q=Kampung+Malaysia+Raya+Kuala+Lumpur&aq=1&sll=4.109495,109.101269&sspn=27.56382..."

Isnin, 18 April 2011

Tahniah - Namun banyak Pengajarannya Pilihanraya Serawak

BN perlu bertindak segera menangani masalah kaum Cina terutamanya. Masalah dalaman parti SUPP dan Pemimpin yang terlalu lama memimpin antara punca kekalahan BN di kerusi majoriti kaum Cina. Politik perkauman DAP menular ke SarawakWalaupun menang dua pertiga, BN tak mendapat sokongan Cina

WALAUPUN Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan lebih dua pertiga pada pilihan raya Sarawak ke-10 kelmarin, kejayaan DAP di 12 kawasan majoriti pengundi Cina menunjukkan kecenderungan masyarakat Cina menyokong pembangkang seperti berlaku di Semenanjung, sudah menular ke Sarawak. Walaupun pelbagai usaha dilakukan BN untuk menarik sokongan pengundi Cina sehingga ada kalanya menimbulkan cemburu kaum-kaum lain, ternyata mereka, terutama di kawasan bandar, masih sukar untuk meninggalkan pembangkang terutama DAP.

Analisis Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke atas keputusan pilihan raya Sarawak kesepuluh menunjukkan BN memenangi 55 kerusi dengan jumlah keseluruhan 372,379 undi; DAP menang 12 kerusi dengan jumlah keseluruhan 134,847 undi; Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga kerusi (117,100 undi); 41 calon Bebas (satu kerusi dimenangi calon Bebas) mengumpul 20,064 undi; manakala Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), PAS dan Parti Cinta Malaysia, yang tidak memenangi sebarang kerusi, masing-masing mengumpul 15,663 undi, 9,719 undi dan Parti Cinta Malaysia 2,895 undi.

Kejayaan DAP menewaskan 12 calon Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) termasuk Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan sebagai presiden ketiga parti itu yang tewas dalam sejarah pilihan raya negeri, menunjukkan pengundi Cina di Sarawak termakan dengan kempen berbaur perkauman dan serangan peribadi terhadap Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Prestasi buruk SUPP yang hanya menang enam daripada 19 kerusi bukan saja petanda sebahagian besar masyarakat Cina Sarawak menolak parti berusia 52 tahun itu, tetapi pengundi bandar berusia 40 tahun ke bawah lebih cenderung menyokong pembangkang.Bagaimanapun, bagi kawasan luar bandar dengan pengundi majoriti Bumiputera, BN bukan saja masih bertapak dengan kukuh, malah berjaya meningkatkan sokongan rakyat di sesetengah kawasan terutama yang bermajoritikan Melayu/Melanau.


Kejayaan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengekalkan rekod tanpa kalah di 35 kerusi yang ditandinginya menunjukkan kepemimpinan Taib, di sebalik pelbagai serangan peribadi terhadapnya, masih diterima dalam kalangan sebahagian besar masyarakat Bumiputera Sarawak.Walaupun PKR mengukuhkan lagi kedudukannya dengan menang tiga kerusi termasuk Ba’kelalan yang ditandingi Ketua PKR Sarawak, Baru Bian, parti itu masih jauh untuk mencapai impiannya memerintah Sarawak. Berbanding dengan DAP yang menang kerana pengundi menyokong parti, sokongan terhadap PKR lebih disebabkan kerana calon mereka dan kelemahan jentera BN setempat.


Kemenangan tipis Baru lebih terdorong dengan keinginan suku Lun Bawang mempunyai wakil mereka dalam politik negeri, Kejayaan PKR di Batu Lintang kerana strategi pertukaran kerusi parti itu dengan DAP, manakala kemenangan calon PKR di Krian lebih disebabkan masalah calon dan dalaman BN setempat.

Bagi BN, walaupun jumlah kerusi yang tewas kali ini meningkat berbanding pilihan raya Sarawak ke-9, ia masih lagi boleh dianggap kejayaan besar BN ketika ramai meramalkan tsunami besar 2008 dijangka berulang di Sarawak kelmarin. Namun, dalam tempoh tiga tahun, kepemimpinan baru BN bukan saja dapat mencetuskan momentum kemenangan dalam siri pilihan raya kecil di Semenanjung, tetapi mampu mencatat kejayaan besar di Sarawak. Dalam kata lain, kemenangan itu adalah bukti penerimaan sebahagian besar rakyat terhadap transformasi politik BN dan pentadbiran kerajaan. Kejayaan di Sarawak menjadi lebih manis kerana buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya negeri, Pengerusi BN dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut bersama Taib, menjelajah ke seluruh pelosok negeri, menjelaskan kepada rakyat kenapa mereka perlu terus menyokong BN.


Seperti kata Taib pada sidang media di Demak Jaya malam kelmarin, kemenangan BN kali ini membuktikan kesungguhan hubungan baik antara kerajaan Pusat dan negeri untuk membangunkan Sarawak.“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah bersusah payah membantu kempen pilihan raya Sarawak. Sokongan Perdana Menteri benar-benar menggambarkan kerajaan BN mendahulukan rakyat. Saya juga bersyukur kerana BN berjaya pada pilihan raya ini walaupun menghadapi cabaran yang agak berlainan,” katanya.


Najib sebelum ini memberi bayangan keputusan pilihan Sarawak ke-10 akan menjadi faktor apabila pilihan raya umum ke-13 bakal diadakan. Oleh kerana itu, ramai percayai kemenangan besar BN kelmarin mungkin mendorong Najib untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal, bergantung kepada hasil kajian dan analisis terperinci keputusan pilihan raya Sarawak ke-10.


Kemenangan besar BN juga turut menimbulkan satu lagi persoalan yang menarik perhatian umum iaitu bilakah Taib, yang sebelum ini membayangkan mengenai persaraannya daripada politik selepas mengetuai pilihan raya Sarawak ke-10, akan berbuat demikian? Beberapa pemerhati politik percaya Taib hanya akan berbuat demikian selepas mengetuai BN Sarawak dalam pilihan raya umum akan datang. Menurut mereka, jika kepemimpinan Taib berjaya mengekalkan kemenangan majoriti dua pertiga BN pada pilihan raya negeri kelmarin, tidak ada sebab kenapa beliau perlu berundur sebelum membantu BN memenangi kerusi Parlimen di Sarawak.

BN kena kuatkan usaha ubah persepsi pengundi Cina. KERAJAAN Barisan Nasional (BN) Sarawak, kelmarin kembali membentuk kerajaan negeri selepas berjaya memenangi 55 kerusi atau memperoleh majoriti dua pertiga daripada 71 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10. Rakyat Sarawak khususnya pengundi bertindak rasional dengan membuat keputusan tepat mengekalkan BN untuk terus menerajui kerajaan negeri. Yang jelas rakyat Sarawak tidak termakan dengan hasutan serta pelbagai janji kosong pembangkang untuk menukar kerajaan negeri, terutama sepanjang tempoh 10 hari berkempen. Rakyat Sarawak khususnya kaum Bumiputera terutama di luar bandar dan pedalaman Sarawak tetap yakin hanya BN yang mampu membela nasib mereka dan tidak ada parti lain, apatah lagi pembangkang yang dapat menggantikan BN.


Tahniah kita ucapkan kepada semua jentera BN yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan calon mereka yang bertanding. Begitu juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta semua pemimpin negeri yang bekerja keras memastikan kemenangan BN. Kehadiran Perdana Menteri dan timbalannya di hampir semua kawasan di Sarawak dilihat banyak membantu kemenangan BN. Kita percaya rakyat Sarawak melihat komitmen yang tinggi pemimpin Pusat terutama dari Semenanjung untuk terus membantu dan membela nasib rakyat di Bumi Kenyalang ini.


Spekulasi yang tersebar kononnya kerajaan BN akan tumbang dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini ternyata meleset dan dilihat sengaja diada-adakan bagi melemahkan semangat jentera BN. Kenyataan Najib bahawa BN mampu menguasai dua pertiga daripada kerusi yang dipertandingkan berjaya menangkis tohmahan pembangkang, apatah lagi Perdana Menteri sendiri berada di bumi Sarawak dan sudah pasti beliau mendapat laporan yang tepat mengenai kekuatan BN.Apapun, pada pilihan raya negeri kali ini, kita melihat pengundi kawasan bandar yang rata-rata dihuni kaum Cina lebih cenderung memilih pembangkang terutama DAP.


Kita percaya ia berpunca daripada isu perkauman dan kedudukan Ketua Menteri yang dikatakan sudah terlalu lama menerajui Sarawak yang dimainkan pembangkang mempengaruhi pengundi. DAP memenangi 12 kerusi yang dipertandingkan di kawasan majoriti Cina, manakala Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang bertindak sebagai komponen BN mewakili kaum Cina kalah teruk dan hanya memenangi enam kerusi daripada 19 kerusi ditandingi. Justeru, sudah tiba masa BN meneliti senario kenapa pengundi Cina menolak BN, bukan saja di Sarawak, malah di kebanyakan pilihan raya kecil lalu.Persoalannya, adakah kerana BN tidak cukup membantu kaum Cina atau ia sekadar keyakinan mereka bahawa pembangkang mampu membentuk kerajaan negeri seperti dilakukan DAP di Pulau Pinang dan Selangor dengan kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS. Kita percaya BN dapat merancang strategi lebih berkesan bagi menangani kecenderungan pengundi ini dan tidak terpedaya dengan mainan serta tipu helah pembangkang.


Namun, selepas pilihan raya negeri Sarawak berakhir yang lebih penting ialah untuk BN mengotakan semua janji yang dibuat dalam tempoh berkempen, terutama kepada masyarakat Bumiputera Sarawak. Kita percaya kemenangan BN di Sarawak ini akan melonjakkan lagi semangat seluruh jentera BN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.

Jumaat, 11 Mac 2011

Hapuskan Saman Ekor & "Black List Road-Tax"

Hapuskan Polisi "Black List" Perbaharui Cukai Jalan

1. Saya berharap kerajaan akan mengkaji semula tindakan menyenaraihitamkan kenderaan yang tidak menjelaskan "saman ekor" sehingga tidak dapat memperbaharui cukai jalan.
2. Sungguhpun mereka ini melakukan kesalahan namun menyenaraihitamkan kereta-kereta ini akan menyebabkan pelanggaran undang-undang lain. Terdapat antara mereka yang tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar "saman ekor" mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui cukai jalan. Ini akan membawa implikasi yang lebih serius jika berlaku kemalangan.
3. Kerajaan tidak wajar sama sekali mengaitkan kesalahan memandu laju dengan keperluan undang-undang untuk memperbaharui cukai jalan dan insurans. Apakah yang ada dalam akal fikiran pembuat polisi ini? Kita menghalang mereka yang melanggar satu peraturan dari mematuhi peraturan lain. Janganlah kerana kesalahan saman ekor akan melarat kepada masalah kemalangan jalan raya yang mungkin melibatkan kematian tanpa perlindungan insurans dan cukai jalan. Inilah yang dikatakan lain bengkak, lain pula yang bernanah.
4. Bagi saya, kerajaan harus menarik balik langkah menghalang mereka yang mempunyai tunggakan "saman ekor" dari memperbaharui cukai jalan.
5. Rakyat mempunyai hak untuk mencabar saman ekor ini di mahkamah. Malangnya, ramai yang tidak mengetahui mereka disaman sehinggalah hendak memperbaharui cukai jalan.
6. Justeru peluang untuk mencabar di mahkamah tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa melanggar undang-undang dengan tidak mempunyai cukai jalan dan insurans. Adakah ini adil kepada orang ramai? khususnya yang berada diluar bandar yang rata-rata berpendapatan rendah..Ingat Rakyat didahulukan..
7. Pemimpin politik dan pegawai kerajaan tidak boleh saling tunding-menunding dalam isu ini, sedangkan rakyat di bawah berhadapan dilema bebanan disenaraihitamkan. Pisau dan mentimun ditangan mereka jangan sampai diambil alih oleh rakyat.

Isnin, 28 Februari 2011

Lagi kebanjiran Pekerja Asing di Negara kita seperti yang dilapurkan semalam

Kenyataan Datuk Murugiah yang menyatakan negara akan didatangi seramai 45,000 orang lagi pekerja asing seperti yang telah dipersetujui kabinet seharusnya dipandang serius oleh semua rakyat. Rujuk http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0228&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm&arc=hive
Isu pendatang asing bukanlah satu perkara baru di negara kita. Kebanjiran pendatang asing semakin meningkat dari hari ke hari dan menjadi satu masalah kepada negara. Pekerja asing kebanyakannya datang dari negara yang mempunyai masalah dalaman seperti Indonesia, Filipina, Bangladesh, Myanmar, Vietnam, dan yang terbaru dari China. Kini jumlah yang diluluskan itu dari India sebagai tambahan daripada apa yang telah tersedia ada didalam negara kita.

Berdasarkan statistik sehingga 30 Jun 2007 yang dikeluarkan Jabatan Imigresen, jumlah pekerja asing mencecah 1.91 juta. Jumlah itu tidak termasuk lebih 400,000 pendatang asing yang dipercayai memasuki negara ini secara haram serta hampir 10,000 tahanan di depoh imigresen.

Pertambahan pekerja asing sememangnya dijangka meningkat secara mendadak berikutan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Statistik unjuran kadar pertambahan penduduk menunjukkan menjelang 2009 pekerja asing di negara ini akan melebihi dua juta orang berbanding penduduk negara ini dijangka meningkat unjuran kepada 28.306 juta. Sesungguhnya pertambahan pekerja asing memang tidak dapat dielakkan, terutama dalam RMK-9 yang memerlukan lebih 1.2 juta pekerja baru bagi memastikan semua sektor dapat digerakkan dengan lancar.

Antara faktor pekerja asing lebih berminat dengan negara kita ialah kemakmuran dan kestabilan ekonominya. Kekurangan tenaga kerja tempatan juga membuka peluang kepada penduduk negara- negara luar untuk mencari rezeki di sini. Walau apa pun ramai penduduk tempatan berpendapat bahawa masalah pekerja asing ini perlu dikawal agar ia tidak menjadi lebih serius.

Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas. Hal ini kerana banyak pekerja asing adalah pendatang haram yang menyusup masuk dengan menggunakan dokumen palsu. Akta imigresen perlulah lebih tegas agar pendatang haram ini tidak berani bertindak lebih jauh. Perairan negara juga haruslah dikawal sepanjang masa untuk mengelakkan mereka menyusup melalui jalan laut.

Tidak dapat dinafikan, kadangkala pekerja asing dapat mengatasi masalah kekurangan pekerja tetapi hal yang berlaku di Nilai dimana pekerja asing ini juga boleh merusuh menyedarkan negara bahawa mereka juga boleh bertindak ganas. Kita tidak mahu negara yang cukup aman ini akan menjadi kacau bilau kerana kemasukan pekerja asing yang tidak dikawal.

Sesetengah pihak juga sering menyalahkan belia kerana terlalu memilih pekerjaan tetapi pernahkah mereka cuba untuk memahami masalah belia itu sendiri? Sebagai contoh walaupun belia itu tidak memilih pekerjaan tetapi adakah majikan akan mengambil pekerja tempatan dan dibayar dengan gaji yang berpatutan. Sudah tentu tidak. Majikan lebih rela mengambil pekerja asing dengan bayaran yang murah dan tidak dikenakan caruman EPF atau SOCSO. Bukankah itu lebih menguntungkan? Begitu juga sekiranya belia itu mendapat pekerjaan yang dimintanya tetapi hidup dalam suasana dikalangan pekerja asing. Dapatkah belia itu menyesuaikan diri dalam keadaan sebegitu?

Penduduk tempatan kadangkala tidak menghiraukan sangat dengan kebanjiran pekerja asing. Apatah lagi jika kedatangan pekerja asing ini melancarkan lagi urusan harian mereka dengan bekerja sebagai pembantu rumah, menjaga anak, atau tukang kebun. Tetapi jika kehadiran pekerja asing ini menimbulkan pelbagai kes-kes jenayah seperti membunuh, samun bersenjata api, merogol, pecah rumah, ragut dan banyak lagi maka inilah yang menyedarkan mereka tentang keburukan pekerja asing. Menurut Jabatan Imigresen dengan kerjasama Jabatan Polis, sehingga 30 Jun 2006 bilangan pendatang asing yang telah ditahan dan diusir di seluruh Malaysia ialah seramai 362,958 kerana melakukan pelbagai kesalahan di negara ini.

Walau apa jua pendapat masyarakat tentang isu ini, kedatangan pekerja asing ini tetap ada keburukan dan kebaikannya. Terpulanglah kepada polisi kerajaan sama ada ingin kebaikan atau menghadapi masalah dengan isu ini. Untuk mencapai yang terbaik, kerajaan haruslah mengkaji segala aspek dari segi ekonomi, politik, dan sosial agar kedatangan pandatang asing ini dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

Rabu, 23 Februari 2011

Renungan Pasca Pilihanraya Kampus

Perjalanan pilihan raya, yang merupakan petunjuk penting amalan demokrasi, bukan sahaja tempang di luar kampus, malah lebih buruk dan pincang keadaannya di pusat intelektual. Universiti tidak lagi berfungsi sebagai medan terbaik menimba ilmu, mencanai bakat, bergelut dengan pengalaman baru, meluaskan interaksi khususnya dengan dunia luar terutama untuk mempengaruhi dasar-dasar awam. Pelajar yang lantang bersuara dan bersikap kritikal seolah-olah dimusuhi walhal mereka merupakan aset bermanfaat untuk semua.

Saya tertarik dengan pandangan Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, yang dilihat konsisten mahu kongkongan Auku (membabitkan banyak seksyen 15 dan 16) dilonggarkan dan mahasiswa bebas berhubung serta terbabit dengan pihak luar termasuk parti-parti politik, tanpa perlu mendapat kebenaran Naib Canselor.

Dalam bukunya, Kalau Saya Mahasiswa, Saifuddin menjelaskan, program mahasiswa jenis “aktiviti” dan “bakti” memang tidak dihalang, tetapi yang berbentuk “advokasi” (yang membezakan mahasiswa dengan pelajar sekolah) dilarang Auku. Advokasi adalah proses pembuatan atau mempengaruhi pembuatan keputusan dasar. Ia dilakukan melalui memorendum, perundingan, melobi dan sebagainya. Ada masanya ia melibatkan proses mempengaruhi pandangan khalayak seperti melalui kenyataan akhbar, seminar, perhimpunan, perarakan dan demonstrasi. Dan gerakan mahasiswa ditandai oleh sifat atau ciri advokasi itu.

Saifuddin, semasa mengulas perkembangan terkini pilihan raya kampus, mengingatkan agar pihak berkuasa dapat meraikan hak-hak asasi pelajar. Jika hak berkenaan dinafikan, jangan pelajar pula yang dipersalahkan sekiranya mereka dilihat bertindak balas secara radikal.
Justeru, insiden mengusung “keranda” dan “mayat” pada hari penamaan calon pilihan raya kampus baru-baru ini tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja. Mesej dan amarah mahasiswa itu tidak boleh dipandang ringan. Ternyata rimas-gelisah Saifuddin itu tidak dikongsi rakan-rakannya dalam BN, termasuk menterinya sendiri.

Pimpinan muda Pakatan Rakyat — seperti disuarakan Nurul Izzah Anwar bersama pimpinan muda lainnya, seperti Dr Mujahid Yusuf Rawa, Anthony Loke dan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam memorandum “Bersihkan Pilihan Raya Kampus” kepada Menteri Pengajian Tinggi — harus lebih proaktif dan serius menangani krisis di menara gading ini. Jangan mengulangi kesilapan pemimpin Umno-BN, yang mahu terus memperbudak dan memperbodohkan mahasiswa kita.

Saya tetap konsisten, iaitu biarkan anak-anak muda kita di kampus melakukan eksperimen dalam proses pembelajaran yang menyeluruh. Bebaskan semua rantai belenggu yang mencengkam kreativiti mereka. Sewajarnya mereka sendiri diberikan hak untuk mengendalikan pilihan raya kampus. Dan usah risau dan panik dengan kecenderungan politik anak-anak muda ini…

Rabu, 2 Februari 2011

Kenyataan Menteri Pertahanan berhubung pelatih PLKN beragama Sikh yang didakwa rambut dipotong harus dipuji

Kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam berhubung keputusan penyiasatan mengenai dakwaan seorang remaja lelaki beragama Sikh yang enggan meneruskan program latihan khidmat negara selepas mendakwa beliau mengalami trauma apabila rambutnya dipotong semasa sedang tidur seharusnya dipuji.

Keputusan Penyiasatan yang merumuskan bahawa insiden tersebut sebenarnya tidak sama sekali berlaku sememangnya wajar diberi perhatian. Ini kerana, kenyataan berani oleh Menteri berkaitan yang mendakwa ianya satu dakwaan palsu boleh mengundang kesan sampingan jika tidak ditangani dengan betul khususnya oleh ihak yag tidakbertanggung jawab.

Malah jika benar dakwaan tersebut sebagai palsu dan direka-reka, wajar pulalah pihak PLKN mengambil tindakan terhadap dakwan sedemikian agar ianya tidak berulang lagi dimasa yang akan datang.

Pelajar yang mendakwa insiden itu berlaku semasa beliau sedang tidur di asrama lelaki Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sungai Bakap, Pulau Pinang itu sewajarnya pula bertanggung jawab terhadap dakwaan tersebut. Beliau yang mengikuti latihan di kem itu sejak 4 Januari itu mendakwa hanya menyedari perkara itu apabila bangun tidur pada kira-kira pukul 6.30 pagi dan mendapati rambutnya yang sebelum ini panjang hingga mencecah pinggang didapati sudah pendek sekadar paras bahu, dipercayai dipotong antara 50 hingga 60 sentimeter.

Beliau berkata 10 pelatih lain yang tinggal bersamanya turut terkejut dengan kejadian itu dan mengesyaki ia dilakukan oleh penceroboh kerana asrama berkenaan tidak berkunci.

Katanya, kesemua pelatih yang tinggal bersama dalam asrama berkenaan berasal dari Ipoh, Perak dan beliau mengenali mereka.
Sementara itu, ayahnya Surinderpal berkata beliau juga tidak bersetuju anaknya kembali meneruskan latihan di kem berkenaan kerana bimbangkan keselamatannya.

“Jika ketika tidur orang lain boleh sewenang-wenangnya masuk ke asrama dan memotong rambut penghuninya, tidak mustahil pada masa akan datang mereka memotong leher anak saya tanpa sedar,” katanya.
Sebelum ini Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechik berkata pihaknya sedang menyiasat aduan itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Bagaimanapun, katanya kesemua 27 pelatih di bilik yang sama telah disoal siasat dan pihaknya tidak menemui objek tajam atau rambut yang dikatakan dipotong.

Sebagai warga negara yang perihatin terhadap isu tersebut khususnya melibatkan sensitiviti sesuatu agama mahu pun adat resam sesuatu kaum, saya amat menyanjung tinggi kenyataan YB Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dengan tegas menafikan semua tohmahan tersebut demi integriti dan ketelusan dalam menguruskan program PLKN selama ini. Program ini telah meningkatkan semangat petriotisma yang tinggi khususnya kepada anak saya yang juga pernahmengikutinya sebelum ini.