Petikan komen YB Dato Saifuddin Abdullah, Member Of Parliament for Temerloh constituency. Currently, he serves the Ministry of Higher Education as Deputy Minister under the new People's Cabinet.Dalam menyambut ulang tahunnya yang ke-65, fokus Umno tentulah menghadapi pilihan raya umum ke-13. Dalam konteks ini, tentulah jenteranya perlu dipersiapkan dengan selengkap-lengkapnya dan semantap-mantapnya. Namun demikian, pengalaman politik mutakhir memberi kita iktibar bahawa di samping persiapan bentuk konvensional, kita juga perlu melakukan persiapan bentuk kontemporarial.Di tengah-tengah realiti politik kontemporari yang serba memungkinkan ini, antara lain, Umno perlu melihat dengan serius faktor yang melibatkan sesetengah rakyat, terutamanya golongan berpendidikan, intelektual dan orang muda yang menolak Umno kerana melihatnya sebagai parti yang ketinggalan dari segi pemikiran politiknya.Memang Umno bukan parti yang punya ideologi. Dan, saya tidak menyarankan agar Umno dengan tiba-tiba sahaja menggubal satu ideologi. Tetapi, ini tidak bermakna sampai Umno tidak mempunyai pemikiran politik tentang demokrasi, konsep penghakupayaan, maksud partisipasi, cara-cara menjadi kerajaan, kesaksamaan gender, pembangunan lestari dan sebagainya.Kita perlu menerima hakikat bahawa landskap politik telah berubah. Perubahan ini berlaku bukan kerana pilihan raya umum ke-12 atau semasa pilihan raya umum ke-12. Sebenarnya, perubahan ini telah berlaku sejak terbitnya milenium baru ini. Faktor-faktor yang mempengaruhi perubahan ini banyak. Antaranya ialah globalisasi, liberalisasi, k-ekonomi, kemajuan ICT, kemunculan generasi Y, pengembangan idea tentang alam sekitar dan lain-lain lagi.Ini menyebabkan peranan dan fungsi negara-bangsa dan kerajaan telah berubah. Ini juga menyebabkan corak, cara dan citra politik dan demokrasi turut berubah. Kerana itu, beberapa bentuk pemikiran politik yang baru telah mula muncul.Antara pemikir politik kontemporari yang penting ialah pensyarah London School of Economics, Anthony Giddens, yang terkenal dengan bukunya, The Third Way (1998) dan The Third Way and its Critics (2000). Pemikirannya telah mempengaruhi banyak perdebatan tentang amalan demokrasi hari ini.Giddens dianggap guru politik kepada Perdana Menteri Tony Blair dan mempunyai impak besar terhadap kelahiran “New Labour” di UK. Apa yang kurang diketahui ialah bahawa Giddens juga mempengaruhi pemikiran Presiden Bill Clinton iaitu tokoh “New Democrat” yang paling terkenal dari Amerika Syarikat. Di samping itu, Giddens turut diminati pemimpin-pemimpin seperti Gerhard Schroder, Wim Kok dan Massimo D’Alema.Dalam kata sambutan terhadap buku Giddens (2000), Presiden Brazil, Fernando Henrique Cardoso menyatakan bahawa debat The Third Way telah sampai ke peringkat dunia dari segi penyatuan idea-idea dan kepelbagaian dasar-dasar. Presiden Suruhanjaya Eropah, Romano Prodi pula menyatakan bahawa Giddens telah menyediakan petunjuk penting dalam mencapai pemikiran baru tentang demokrasi dan pembangunan ekonomi yang diperlukan oleh Kesatuan Eropah.Saya tidak menganjurkan agar Umno menggunakan pemikiran Giddens. Tetapi, Umno perlu cakna akan pemikiran-pemikiran politik kontemporari yang berpengaruh, tidak kiralah oleh Giddens atau oleh pemikir yang lain.Saya mencuba dengan mengetengahkan gagasan Politik Baru.Di samping dua komponennya iaitu integriti politik dan kerangka 'governans' baru, Politik Baru juga meliputi dua elemen lain iaitu inovasi demokrasi dan pemikiran politik progresif. Pada saya, apa yang penting ialah Umno perlu membina, mengembang dan menyebarkan pemikiran politiknya yang tersendiri tentang apa-apa yang berlaku dalam negara dan di peringkat antarabangsa. Kita perlu memberikan tafsiran kita tentang mengapa sesuatu itu terjadi. Kita perlu memberikan kupasan tentang mengapa sesuatu tindakan dan keputusan kita lakukan sama ada sebagai parti atau sebagai kerajaan.Kenyataan biasa, misalnya, “ini adalah bukti kerajaan prihatin terhadap keperluan rakyat”, tidak lagi menarik imaginasi sebahagian daripada rakyat. Penerangan biasa, misalnya, “keadaan di negara kita adalah lebih baik daripada negara lain” tidak lagi menarik aspirasi sebahagian daripada rakyat. Malahan, ayat-ayat yang biasa, misalnya “rakyat perlu berterima kasih kepada kerajaan”, kini telah diketawakan oleh sebahagian rakyat.Prinsip perjuangan Umno iaitu berjuang demi agama, bangsa dan negara adalah suci dan perlu diteruskan. Tetapi, dalam suasana landskap politik yang telah berubah ini, ia perlu disampaikan, diterangkan dan dipopularkan dengan pendekatan yang sesuai dengan suasana yang baru ini. Prinsip perjuangan ini perlu didefinisikan semula dan diposisikan semula agar Umno sentiasa kelihatan segar dan mekar di tengah-tengah landskap politik yang baru dan sentiasa berubah ini.Apa yang saya maksudkan dengan pemikiran politik progresif ialah, contohnya Umno perlu memberi pengisian terhadap gagasan 1 Malaysia sebagai mencerna idea masyarakat baik. Masyarakat baik perlu punya terasnya. Antara terasnya ialah budaya ilmu, pembinaan tamadun, partisipasi demokratik, perkongsian ekonomi, keadilan sosial dan kelestarian alam sekitar. Pemikiran ini perlu dilakukan untuk pembangunan di pelbagai peringkat iaitu kebangsaan, negeri dan tempatan. Satu contoh pemikiran politik progresif yang praktikal ialah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Ini berlaku di peringkat kebangsaan. Di peringkat tempatan, sebagai Ahli Parlimen Temerloh, saya menggerakkan Bidang Keberhasilan Utama Temerloh (TKRA).Dalam konteks Model Baru Ekonomi, antara lain, Umno perlu mencadangkan kepada kerajaan apakah langkah afirmatif baru yang perlu dilaksanakan untuk membantu 40 peratus daripada rakyat yang terendah pendapatannya. Dalam konteks ini, keusahawanan sosial adalah pendekatan yang sesuai. Satu daripada kelemahan utama kerajaan hari ini ialah di peringkat kerajaan tempatan. Justeru, masanya telah tiba untuk Umno mempelopori pemikiran politik progresif dari segi “pembangunan komuniti tempatan”. Ia adalah dasar dan program pembangunan yang dihasilkan sendiri oleh komuniti tempatan. Matlamatnya ialah dengan menghakupayakan komuniti tempatan untuk merancang, melaksana dan menilai pembangunan yang penting dan sesuai untuk kepentingannya, yang bersesuaian dengan dasar dan program pembangunan negeri dan kebangsaan.Pembangunan komuniti tempatan dapat dilaksanakan dengan penghayatan “ciri-ciri komuniti mikro”: keprihatinan, kesukarelaan, ikatan kepercayaan, perkongsian nilai-nilai, tanggungjawab bersama dan kerjasama ikhlas.Kini, pengharapan rakyat semakin kompleks. Inisiatif Putrajaya sahaja tidak memadai. Perlu ada inisiatif Umno yang lahir daripada ibu pejabat Umno. Justeru, Umno perlu mempunyai pemikiran politik progresifnya untuk diperlihatkan melalui manifestonya dalam pilihan raya umum ke-13.(disiarkan di www.themalaysianinsider.com)
MERRY CHRISTMAS 2024.
-
*Wishing all our Christian readers, relatives and friends a MERRY
CHRISTMAS.*
*Wishing the rest, HAPPY HOLIDAYS.*
2 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan