SEJAK kebelakangan ini banyak kes penyeludupan dadah dilaporkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), membabitkan warga asing, menggambarkan seolah-olah Malaysia adalah transit sindiket antarabangsa, selepas heboh dengan cerita KLIA sebagai transit penyeludupan atau pemerdagangan manusia sebelum ini.
Sejak awal tahun ini, sudah 41 warga Iran ditahan di negara ini, ketika mereka cuba membawa masuk dadah ke Malaysia melalui KLIA. Itu rekod rasmi polis dan kita tidak tahu lagi, berapa ramai atau berapa kes yang berjaya meloloskan diri menggunakan pelbagai taktik. Ada yang menelan bungkusan kondom berisi dadah walaupun menyedari kaedah itu boleh mengancam nyawa, ada juga dadah disembunyikan dalam beg pakaian atau penyembur botol, selain disalut pada pakaian dan ada juga menyorok dadah dalam ruang rahsia bagasi yang dibawa. Malah, seorang lelaki warga Iran nekad menyembunyikan 87 ketul bungkusan berisi dadah disyaki syabu dalam perutnya bagi mengaburi mata pihak berkuasa ketika cuba membawa masuk dadah berkenaan ke negara ini. Apa pun taktik atau helah digunakan, bukan menjadi isunya. Isunya kenapa KLIA dan kenapa Malaysia.
Berdasarkan kenyataan polis, warga asing seperti dari Iran itu cuma dijadikan 'keldai dadah' dengan dijanjikan upah lumayan bagi setiap penghantaran yang berjaya. Tetapi pada masa sama, rata-rata juga menyedari risiko perbuatan itu termasuk hukuman gantung jika sabit kesalahan. Nyata sekali duit boleh mengabui mata. Malah, siasatan awal polis mendapati dadah itu dibawa dari Iran melalui Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum diseludup ke negara ini yang dipercayai dijadikan pusat pengedaran bagi pasaran serantau.
Kita berharap polis meneruskan siasatan dengan lebih mendalam sama ada sindiket yang bersarang di Kuala Lumpur itu warga tempatan atau asing mahupun kemungkinan pembabitan 'orang dalam' pihak berkuasa lapangan terbang berikutan penyeludup dadah terbabit begitu mudah melepasi pemeriksaan keselamatan sebelum ditahan polis. Memandangkan banyak warga Iran terbabit, sepatutnya tumpuan pemeriksaan dipertingkatkan bagi penerbangan dari rantau Asia Barat dan berikutan tiada penerbangan terus dari Teheran, bermakna polis dan Kastam di KLIA hendaklah memantau penerbangan terus dari UAE dan Bahrain di KLIA.
Ketika menyoal siasat mereka yang ditahan, tumpuan juga perlu menjurus bagi mengenal pasti dalang utama sindiket itu, dari mana bekalan diperoleh, rangkaian pengedaran mereka di luar negara dan modus operandi. Sejak awal tahun ini, dadah jenis syabu bernilai RM10.5 juta dirampas di KLIA dan sepanjang tahun lalu, pelbagai jenis dadah bernilai RM62 juta turut dirampas. Tetapi kita belum lagi mendengar berita seperti 'raja sindiket dadah' berjaya ditahan kecuali 'keldai' yang digunakan sebagai pembawa.
Risikan antara polis serantau juga perlu dipertingkatkan antara Malaysia, Thailand, Filipina, Singapura, Indonesia, India, China, Hong Kong dan Jepun bagi membanteras sindiket dadah antarabangsa ini, kerana di negara ini juga tumpuan kes penyeludupan masuk dan keluar pelbagai jenis dadah.
No Malaysians involved in Kazakhstan plane crash
-
[image: Emergency specialists work at the crash site of an Azerbaijan
Airlines passenger jet near the western Kazakh city of Aktau on Dec 25. --
AFP]
Em...
Sejam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan