Welcome to my Blog

Welcome to my Weblog. This site is dedicated to publishing my writings as and when I am able to pen my thoughts and opinions.Interested parties, including the Press, may reproduce or quote materials published with the condition that they are credited tfrom me. Comments must be accompanied by names and contact. Anonymous postings and those containing profanities and obscenities will be rejected.

Salam pengenalan buat semua

Semoga keujudan blog ini akan memberikan ruang untuk kita sebagai pemimpin diperingkat akar umbi untuk bertukar pandangan dan pengalaman dalam menangai isu-isu semasa kemasyarakat ditempat masing-masing. Tuan/puan mungkin pimpinan kerdil diperingkat bawahan, samada diluar bandar atau pekan kecil, didaerah mahu pun bandar, jangan lupa bahawa anda mempunyai peranan tertentu dalam merobah pemikiran rakyat.

Bersamalah kita berazam untuk meninggikan mutu kehidupan dan kefahaman penduduk dalam sesebuah masyarakat itu menangani cabaran alaf baru. Semoga komuniti kita akan menjadi tempat yang menarik, maju dan menguntungkan buat semua penduduknya.anda boleh berkomunikasi dengan saya menerusi email peribadi di mzha@hotmail.com atau hubungi saya terus menerusi 019-2764133

capaian

Ahad, 28 Februari 2010

Elakkanlah perseteruan antara kita

SAMBUTAN Maulidur Rasul semalam, disambut dengan pelbagai acara bagi mengingati dan menghayati sunnah-sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW. Pada pagi hari lagi kelihatan umat Islam terutama orang Melayu memakai baju kebangsaan menuju masjid dan surau. Ada yang berpakaian biasa untuk menyertai program gotong-royong dan silaturrahim.
Tetapi paling banyak ialah umat Islam yang duduk di rumah sahaja kerana hari cuti umum.

Sudah berpuluh tahun umat Islam negara ini menyambut Maulidur Rasul. Hari yang cukup bermakna ini sempena kelahiran junjungan besar Rasulullah itu bukan disambut sekadar upacara rutin tahunan dengan perarakan, laungan selawat tanpa diikuti penghayatannya. Dalam konteks perpaduan umat Islam Malaysia sahaja, kita sepatutnya menghayati konsep perpaduan yang ditunjukkan oleh Rasulullah.

Apakah perpaduan ummah ini masih kuat dalam diri umat Islam Malaysia? Atau apakah dunia politik sedang mengikis semangat perpaduan itu hingga timbul pula roh benci dan bermusuhan di kalangan umat Islam khususnya orang Melayu? Kalau menghadiri ceramah sempena Maulidur Rasul ini, sempat juga diselit dakyah-dakyah politik supaya membenci pemerintah.

Sebelum keadaan bertambah teruk dengan unsur-unsur kebencian dan permusuhan, maka kita sendiri harus segera selamatkan perpaduan Melayu/Islam. Hentikan perkelahian sesama orang Melayu. Banyak mesej yang kita dengar - janganlah kerana perbezaan parti kita sanggup meruntuhkan kekuatan ukhuwah yang sedia terjalin. Jangan kerana taksub dengan pandangan dan ideologi parti politik, kita menghancurkan prinsip Islam sejati.

Jika kita menghayati dakwah Rasulullah, kita tidak disuruh mengabaikan perpaduan. Tetapi yang menghairankan kita, dari tahun ke tahun kita menyambut Maal hijrah dan kemudian Maulidur Rasul, semakin renggang perpaduan ummah. Kenapa? Sedangkan semua orang Melayu sedar bahawa maruah agama Islam yang kian dicabar dan diancam kesuciannya hanya mampu ditebus apabila kita bersedia bermaafan dan bersatu.

Pemimpin agama dan politik harus melupakan perselisihan dan pertikaian demi agenda bangsa dan agama yang lebih besar. Maruah dan martabat Melayu/Islam di negara ini hanya mampu dijulang kembali apabila kita benar-benar menghayati nilai dan prinsip Islam sekali gus membudayakan konsep perpaduan sebagaimana keperibadian Rasulullah. Susah sangatkah kita hendak bersatu dan 'bersaudara' kembali?

Kita perlu perbetulkan masalah perpaduan ini kerana Islam adalah agama murni yang mendidik kita mengenai keharmonian dan kesejahteraan. Kita juga perlu membuktikan kepada penganut-penganut agama lain di negara ini bahawa Islam bukannya seperti yang digambarkan oleh dunia pada masa kini. Adalah menjadi tanggungjawab umat Islam negara ini menggembleng tenaga dan bersatu untuk memperbetulkan kesilapan masa lalu. Ikut panduan Rasullullah dalam menyatukan semua umat Islam ketika kita menghadapi masalah percanggahan pendapat dalam politik.

Tidak perlu diajar cara bagaimana hendak menyatukan semua umat Melayu/Islam negara ini. Kita semua tahu apa sebenar masalah hingga sukar menggembalikan perpaduan. Semangat tolak ansur dan perundingan antara pemimpin Melayu/Islam perlu difikirkan dengan bersungguh-sungguh. Kalau kita hayati dengan serius kisah kehidupan Nabi Muhammad SAW dan mahu menjadikannya panduan umat Islam dalam menjalankan urusan harian, insya-Allah segala bentuk polemik dalam masyarakat boleh dikurangkan. Elok sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini yang bertemakan "Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah" maka jangan dilengah-lengah usaha ke arah memperkukuhkan perpaduan umat Melayu/Islam.

Rabu, 17 Februari 2010

apabila menteri terkejut - Pendatang Asing kian ramai

Mengikut rekod, Jabatan Imigresen melancarkan 7,099 operasi pendatang tanpa izin (PATI) pada tahun lalu. Hasilnya 47,310 tangkapan dibuat iaitu purata 3,942 orang sebulan.
Sebahagian daripada yang diberkas itu kerana mereka masuk secara tidak sah.
Kesalahan lain termasuklah tinggal lebih tempoh, langgar syarat permit dan guna permit palsu atau yang dipinda.

Saya paparkan rekod operasi dan tangkapan tersebut sebagai bukti bahawa begitu ramai PATI berada di negara kita walaupun pihak berkuasa tidak duduk diam. Operasi mengesan PATI dari semasa ke semasa bagaimanapun gagal menghapuskan lambakan golongan terbabit. Hakikat itu menuntut komitmen berlipat ganda pelbagai jabatan dan agensi yang terlibat bagi membanteras kemasukan PATI yang sebenarnya bukan setakat merampas peluang ekonomi rakyat tempatan tetapi mendedahkan warga kita kepada gejala penyakit berjangkit, jenayah dan masalah sosial.

Justeru, tumpuan penguatkuasaan juga perlu diarahkan kepada majikan dan Pusat pengajian tinggi swasta yang mengambil PATI kerana golongan inilah pencetus kemasukan mereka yang tidak dijemput ini.

Jumaat, 12 Februari 2010

Kawalan ketat di semua pintu masuk bagi mengesan kemasukkan Dadah

SEJAK kebelakangan ini banyak kes penyeludupan dadah dilaporkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), membabitkan warga asing, menggambarkan seolah-olah Malaysia adalah transit sindiket antarabangsa, selepas heboh dengan cerita KLIA sebagai transit penyeludupan atau pemerdagangan manusia sebelum ini.

Sejak awal tahun ini, sudah 41 warga Iran ditahan di negara ini, ketika mereka cuba membawa masuk dadah ke Malaysia melalui KLIA. Itu rekod rasmi polis dan kita tidak tahu lagi, berapa ramai atau berapa kes yang berjaya meloloskan diri menggunakan pelbagai taktik. Ada yang menelan bungkusan kondom berisi dadah walaupun menyedari kaedah itu boleh mengancam nyawa, ada juga dadah disembunyikan dalam beg pakaian atau penyembur botol, selain disalut pada pakaian dan ada juga menyorok dadah dalam ruang rahsia bagasi yang dibawa. Malah, seorang lelaki warga Iran nekad menyembunyikan 87 ketul bungkusan berisi dadah disyaki syabu dalam perutnya bagi mengaburi mata pihak berkuasa ketika cuba membawa masuk dadah berkenaan ke negara ini. Apa pun taktik atau helah digunakan, bukan menjadi isunya. Isunya kenapa KLIA dan kenapa Malaysia.

Berdasarkan kenyataan polis, warga asing seperti dari Iran itu cuma dijadikan 'keldai dadah' dengan dijanjikan upah lumayan bagi setiap penghantaran yang berjaya. Tetapi pada masa sama, rata-rata juga menyedari risiko perbuatan itu termasuk hukuman gantung jika sabit kesalahan. Nyata sekali duit boleh mengabui mata. Malah, siasatan awal polis mendapati dadah itu dibawa dari Iran melalui Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum diseludup ke negara ini yang dipercayai dijadikan pusat pengedaran bagi pasaran serantau.

Kita berharap polis meneruskan siasatan dengan lebih mendalam sama ada sindiket yang bersarang di Kuala Lumpur itu warga tempatan atau asing mahupun kemungkinan pembabitan 'orang dalam' pihak berkuasa lapangan terbang berikutan penyeludup dadah terbabit begitu mudah melepasi pemeriksaan keselamatan sebelum ditahan polis. Memandangkan banyak warga Iran terbabit, sepatutnya tumpuan pemeriksaan dipertingkatkan bagi penerbangan dari rantau Asia Barat dan berikutan tiada penerbangan terus dari Teheran, bermakna polis dan Kastam di KLIA hendaklah memantau penerbangan terus dari UAE dan Bahrain di KLIA.

Ketika menyoal siasat mereka yang ditahan, tumpuan juga perlu menjurus bagi mengenal pasti dalang utama sindiket itu, dari mana bekalan diperoleh, rangkaian pengedaran mereka di luar negara dan modus operandi. Sejak awal tahun ini, dadah jenis syabu bernilai RM10.5 juta dirampas di KLIA dan sepanjang tahun lalu, pelbagai jenis dadah bernilai RM62 juta turut dirampas. Tetapi kita belum lagi mendengar berita seperti 'raja sindiket dadah' berjaya ditahan kecuali 'keldai' yang digunakan sebagai pembawa.

Risikan antara polis serantau juga perlu dipertingkatkan antara Malaysia, Thailand, Filipina, Singapura, Indonesia, India, China, Hong Kong dan Jepun bagi membanteras sindiket dadah antarabangsa ini, kerana di negara ini juga tumpuan kes penyeludupan masuk dan keluar pelbagai jenis dadah.

Sabtu, 6 Februari 2010

Kenyataan Berbau Perkauaman oleh Datuk Nasir Safar

Kenyataan berunsur perkauman yang didakwa dibuat oleh Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar, pada seminar 1Malaysia di Melaka 2 hari lalu, telah disalah tafsir malah dimanupulasi oleh pihak tertentu.

Ini berdasarkan pengalaman beliau yang telah lama berkecimpung dalam bidang penerangan apatah lagi dalam menghayati konsep 1Malaysia itu sendiri. Pengalaman dalam menguruskan hamper 80 siri ceramah sepanjang tahun lepas sehingga kini menyakinkan kami bahawa beliau adalah seorang yang dedikasi lagi bertanggung jawab serta tidak pernah wujud sebarang penyalah tafsiran dan ketidakfahaman selama ini. “Kami yakin isu ini timbul akibat provokasi,”
Sebagai Masyarakat Madani yang terbuka dengan perbagai pendekatan Media, kami yakin bahawa penerimaan Masyarakat terhadap Konsep 1Malaysia itu sendiri tanpa apa-apa agenda disebaliknya. Kenyataan Datuk Nasir Safar hanya berbentuk rujukan serta fakta dan seharusnyalah dilihat dan diterima secara Rasional oleh semua. Konsep 1Malaysia tetap relevan, namun kedudukan serta perana Datuk Nasir Safar sebagai anggota penerangan seharusnyalah diteruskan apatah lagi permohonan maaf beliau telah dibuat kemudiannya secara terbuka.

Perkasa Wilayah Persekutuan, berharap Datuk Nasir Safar tidak akan dilupakan begitu sahaja dan berharap Perdana Menteri memberikan beliau peranan yang lebih “significant” jika tidak berhasrat mengembalikan jawatan yang disandang sebelum ini. Sesungguhnya beliau masih mampu menyumbang khidmat yang baik dalam melaksanakan misi Perdana Menteri.

Mohd Zainuddin Hj Amran
Setiausaha
Perkasa Wilayah Persekutuan