SEWAJARNYA sambutan kemerdekaan kali ke-52 tahun ini, kita raikan dengan penuh keinsafan dan kesyukuran berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana 31 Ogos 2009 jatuh pada bulan Ramadan yang mulia.
Saban tahun, tarikh keramat ini datang dan pergi sebagai memenuhi takwim - tanpa kita sedar berapa ramai rakyat Malaysia yang benar-benar mengerti nilai kemerdekaan yang kita nikmati sekarang.
Tahun ini misalnya, bilangan kenderaan dan bangunan yang mengibarkan Jalur Gemilang boleh dikatakan berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Memang betul persoalan yang mengatakan adakah dengan hanya mengibar Jalur Gemilang sahaja kita dianggap patriotik. Malah banyak lagi cara dan kaedah untuk kita menterjemahkan rasa sayang kita pada negara ini.
Namun berapa ramai daripada kita yang menghayati erti kemerdekaan ini dan sedar akan kepentingan untuk mempertahankannya.
Tahun ini kita menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-52 dalam suasana ekonomi, politik dan sosial yang agak bercelaru dan merisaukan, baik di peringkat global mahupun di peringkat nasional.
Masalah kegawatan ekonomi terus menghantui dunia termasuk negara kita, bilangan pekerjaan yang masih terhad, masalah kenaikan harga barang serta kekurangan bekalan terus menjadi satu persoalan yang sukar untuk dijawab oleh kita semua.
Kekalutan pentas politik negara juga semakin hari semakin merisaukan semua pihak. Bilangan pilihan raya kecil yang semakin bertambah, ahli politik yang begitu mudah dan gemar untuk keluar parti dan isytihar bebas serta isu syurga dan neraka semakin menghimpit dan menghantui masyarakat Malaysia.
Ini ditambah lagi dengan isu kontrak sosial dan perpaduan kaum yang makin hangat diperdebatkan sana sini.
Dari segi sosial pula, isu kadar jenayah yang semakin meningkat, masalah sosial remaja yang makin menjadi-jadi dan pengakuan terbuka wanita Islam minum arak dan rela disebat di khalayak ramai, seolah-olah terus menghiris nilai-nilai ketimuran masyarakat kita.
Apakah contoh-contoh di atas (sekadar beberapa contoh) mencerminkan budaya masyarakat kita yang boleh dianggap sudah benar-benar memahami erti kemerdekaan yang kita nikmati sekarang.
Secara ikhlas saya katakan, bilangan rakyat Malaysia yang memahami erti dan nilai kemerdekaan semakin berkurangan. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan kerisauan beliau tentang perasaan cintakan negara yang semakin menurun terutama di kalangan generasi muda sekarang. Saya percaya ramai di kalangan masyarakat kita sependapat dengan Tun.
Tema tahun ini cukup sinonim dengan hasrat Perdana Menteri iaitu ‘1Malaysia Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan’ namun sejauh mana kita menghayati tema dan erti kemerdekaan yang kita kecapi selama ini.
Tema yang hebat ini seharusnya dihayati, disemai dan dipupuk bersama-sama dengan rasa sayang kepada negara ini dalam sanubari setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
Atau apakah perlu kita memperkenalkan satu lagi slogan baru demi memupuk erti kemerdekaan dan rasa sayangkan negara di kalangan masyarakat misalnya Rakyat Bersatu Negara Diutamakan.
Sekali lagi pilihan di tangan kita, yang mana tidak mustahil kemerdekaan ini diragut suatu hari nanti jika kita tidak mengerti, menghayati dan mempertahankannya.
Muslims may wish non-Muslims on religious holidays, says Penang mufti
-
[image: Free Malaysia Today]
Penang mufti Sukki Othman said Muslims may attend open houses held by
non-Muslims as long as these events fulfill certain c...
11 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan