Kejadian bumbung utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dekat sini, yang runtuh pagi ini amat memalukan negara, walaupun kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa, ia menjejaskan imej negara kerana runtuhan itu membabitkan stadium baru yang belum sampai setahun digunakan.
Walaupun daripada segi membaikpulihnya ditanggung oleh kontraktor dengan memasang bumbung baru, ia memberi gambaran yang tidak baik kepada negara, seolah-olah kontraktor kita tidak berkemampuan untuk melakukan kerja (membina) bangunan sedemikian rupa,.
Saya harap kerajaan dapat melantik satu juru perunding yang mempunyai kepakaran dan berkualiti dilantik bagi menilai dan mengkaji mengapa bumbung stadium baru itu boleh runtuh. Saya tidak mahu menuding jari kepada manamana pihak. Apa yang rakyat mahu ialah satu laporan terperinci kerana kejadian ini memalukan negara walaupun kesilapannya mungkin bukan berpunca daripada kita.
Kejadian tersebut akan menyebabkan masyarakat luar menganggap kontraktor tempatan tidak berkemampuan untuk membina bangunan bangunan besar. Saya juga ingin tekankan kepada CIDB supaya lihat dengan terperinci jika hendak membina satu-satu struktur bangunan di negara ini daripada perancangannya, reka bentuknya, juruperunding, pembinaannya sehinggalah kalau bangunan itu hendak diruntuh pun kita sudah ada piawaian amalan kerja. Kita tidak akan bertolakansur dalam perkara ini.
Persepsi adanya gejala Rasuah pula janganlah dijadikan isu, kecuali terbukti ianya berlaku. Pemilihan kontraktor hendaklah berdasarkan kemampuan dan kalau projek besar, pastikan konsultan itu ada kapasiti. Begitu juga dengan kontraktor mesti ada pengalaman dan pengetahuan teknikal yang tinggi.
Jika tafsiran awal mengikut kerajaan negeri dianggar RM25 juta, maka ianya sememangnya satu pembaziran serta merugikan bagi rakyat Trengganu yang jelas sedih dan kecewa dengan insiden yang berlaku itu.
Stadium berharga RM292 juta itu baru siap setahun lepas dan dirasmikan oleh Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas. Ia menjadi mercu tanda Terengganu dan gelanggang bagi beberapa acara utama pada Sukan Malaysia (Sukma) 2008. Apa yang pasti, jika malapetaka itu berlaku semasa majlis keramaian dan dihadiri pula VIP yang diundang sama, apa akan jadi?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan