Welcome to my Blog

Welcome to my Weblog. This site is dedicated to publishing my writings as and when I am able to pen my thoughts and opinions.Interested parties, including the Press, may reproduce or quote materials published with the condition that they are credited tfrom me. Comments must be accompanied by names and contact. Anonymous postings and those containing profanities and obscenities will be rejected.

Salam pengenalan buat semua

Semoga keujudan blog ini akan memberikan ruang untuk kita sebagai pemimpin diperingkat akar umbi untuk bertukar pandangan dan pengalaman dalam menangai isu-isu semasa kemasyarakat ditempat masing-masing. Tuan/puan mungkin pimpinan kerdil diperingkat bawahan, samada diluar bandar atau pekan kecil, didaerah mahu pun bandar, jangan lupa bahawa anda mempunyai peranan tertentu dalam merobah pemikiran rakyat.

Bersamalah kita berazam untuk meninggikan mutu kehidupan dan kefahaman penduduk dalam sesebuah masyarakat itu menangani cabaran alaf baru. Semoga komuniti kita akan menjadi tempat yang menarik, maju dan menguntungkan buat semua penduduknya.anda boleh berkomunikasi dengan saya menerusi email peribadi di mzha@hotmail.com atau hubungi saya terus menerusi 019-2764133

capaian

Jumaat, 22 Oktober 2010

Peringatan bagi UMNO

Bersempena persidangan Tahunan UMNO kali ini, mari kita merenung kembali kewujudan Umno yang telah banyak mengubah landskap kehidupan rakyat Malaysia sejak 1946 sehingga 2010.

Banyak perubahan baik dari segi politik,ekonomi dan sosial telah dikecapi oleh kita semua lantaran khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh Umno. Parti ini, akan terus diingati dalam sejarah Malaysia sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab merintis kemerdekaan dan mentadbir negara sehingga ke hari ini.

Sebagai seorang generasi kedua yang melihat betapa parti ini sedang menempuh satu keadaan yang sangat mencabar, satu masa yang menuntut perubahan secara total dan tiada masa untuk menangguhkan perubahan tersebut.

Kerap kali idea-idea bernas dan baru dilontarkan dalam Perhimpunan Agung Umno dan kerap kali itu jugalah idea tersebut terbiar begitu sahaja. Tidak dituai dan disirami agar bercambah dan dapat dinikmati bersama.

Perhimpunan tahun ini adalah satu perhimpunan yang sangat unik kerana dari akar umbi hingga ke pucuk pimpinan semuanya melontarkan keperluan bahawa Umno harus diubah untuk kekal segar dan relevan.

Justeru niat warkah ini ditulis adalah untuk berkongsi serba sedikit apa yang dilihat dari kacamata generasi muda yang bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam pilihanraya akan datang.

Mungkin apa yang saya katakan ini hanyalah mewakili diri saya semata, barangkali tidak ada generasi muda yang lain bersetuju dengan pandangan saya ini tetapi dalam menghadapi masa depan yang semakin tiada kepastian, Umno tidak boleh berdiri dan terus memainkan isu-isu yang sudah lapuk ditelan zaman.

Maafkan saya kerana sikap skeptikal masih menebal dalam diri saya apabila Umno katanya mahu berubah. Benarkah ia akan berubah? Benarkah Umno bersedia untuk berubah supaya kekal relevan dan menjadi pilihan rakyat?

Apa yang dilaungkan sama seperti dahulu. Tiada pendekatan baru yang diambil. Tiada pembaharuan yang dilontarkan. Masih lagi sekitar isu dan permainan politik yang serupa dimainkan sejak dahulu. Hak dan kepentingan kaum terus-menerus dijadikan intipati utama dengan harapan mendapatkan semula undi yang telah hilang dalam pilihanraya yang lepas.

Bukankah hak dan kepentingan kaum ini sudah pun dipersetujui bersama dalam Perlembagaan Persekutuan? Bukankah Perlembagaan Persekutuan telahpun menjadi pelindung, pembela dan penjaga hak dan kepentingan semua kaum di negara ini?

Apakah relevan kiranya Umno terus melaungkan slogan bahawa dialah yang akan membela dan mempertahankan hak kaum Melayu dengan tidak meminggirkan hak kaum bukan Melayu?

Kenapakah masih perlu berdiri di atas retorik yang sama sedangkan rakyat semakin hari semakin mengetahui bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah penjaga sebenar hak tersebut? Bahkan dalam Perlembagaan sendiri telah menetapkan bahawa Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja akan menjaga, melindungi dan mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu di samping hak kerakyatan bukan Melayu? Kenapa slogan yang sama perlu bergema sekali lagi di PWTC? Inikah pembaharuan yang dijanjikan Umno?

Dalam pandangan saya yang masih tidak cukup garam ini, haruslah diketahui bahawa bukanlah masanya lagi untuk melaungkan slogan yang sama. Inilah masanya untuk mendidik, memberitahu dan menjelaskankedudukan sebenar hak dan kepentingan kaum di negara ini. Implementasikan apa yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan dalam dasar dan rancangan kerajaan.

Sudah tiba masanya Umno bergerak dan berubah secara keseluruhan agar tidak dilihat hanya cakap tetapi tak serupa bikin. Jika Umno benar-benar mahu kekal relevan dan segar di hati pengundi, maka hentikan polemik isu-isu sebegini.

Cukuplah permainan yang hanya sekitar hak dan kepentingan kaum semata. Begitu banyak isu lain yang harus dihadapi oleh Umno terutamanya dari soal integriti, tanggungjawab, rasuah, elitism dan mendekati pengundi muda. Janganlah hanya bersorak mahu kekal relevan akan tetapi tidak menyedari apa yang perlu diubah untuk kekal relevan.

Berapa ramai yang sudah terlepas daripada hukuman rasuah sehingga berjaya menjawat jawatan penting dalam parti?

Berapa banyak program-program mendekati pengundi muda telah dijalankan oleh Umno?

Sejauh mana keterbukaan Umno dalam menerima suara orang muda dan mendengar masalah mereka?

Berapa banyak janji-janji Ahli Parlimen Umno yang telah ditunaikan sejak pilihanraya 2008?

Umno harus bersikap realistik dan berani menerima kenyataan bahawa masih banyak lagi yang perlu dilakukan daripada terus ghairah membuat spekulasi bilakah pilihanraya umum akan diadakan. Bersiaplah melaksanakan program-program diskusi ilmiah dan tunjukkan keterbukaan dalam menerima idea dan konsep baru dari pelbagai pihak terutama daripada generasi muda.

Ketua Pemuda telah menyenaraikan 10 sikap yang perlu dibuang oleh Umno. Kebanyakan sikap-sikap tersebut ibarat terkena muka sendiri cuma yang tak dimasukkan sekali ialah “Jangan merasuah untuk dapat kedudukan.”

Ketua Wanita Umno berkata tiba masa untuk keluar dari zon selesa. Kalau begitu, mengapa tidak dicadangkan pelan baru untuk ekonomi negara? Mengapa tidak dilaungkan bahawa kaum Melayu tidak lagi memerlukan tongkat 30 peratus DEB?

Kenapa tidak beritahu kepada rakyat bahawa 30 peratus tersebut tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Yang ada hanyalah “mengikut apa yang difikirkan munasabah oleh baginda Yang Di-Pertuan Agong” bukanlah “ mengikut apa yang difikirkan munasabah oleh golongan tertentu”.

Maaf jika apa yang saya tuliskan ini menimbulkan kemarahan dan terbitnya perkataan pengkhianat bangsa kepada saya. Sungguh saya juga tidak mahu melihat kaum Melayu akan meminta-minta dan mundur tetapi itu terjadi bukanlah kerana hilangnya status quo dan keistimewaan yang selama ini telah dinikmati akan tetapi terjadinya kaum Melayu sebegitu kerana ketakutan untuk berubah dan keluar dari zon selesa.

Di saat dunia semakin berubah dengan pantas, kita masih lagi selesa dan tidak ikut serta dalam perubahan tersebut. Bagaimana mungkin kita akan berubah jika hanya terus menerus di dalam rumah dan tidak melihat keadaan sekeliling yang semakin hari semakin berubah? Maka adalah baiknya juga kita merenungkan kata Neale Donald Walsch “Life begins at the end of your comfort zone”.

Umno hanya perlu mengubah cara pendekatan kerana itu sahajalah yang sangat dinantikan oleh rakyat Malaysia amnya. Janganlah hanya mengingatkan rakyat bahawasanya Umno telah berjasa membawa kemerdekaan negara maka undi haruslah berpihak kepada Umno kerana sudahpun terjadi di Jepun bagaimana sebuah parti yang telah mentadbir Jepun sejak awal kemerdekaan akhirnya tumbang.

Kalau mahu timbulkan isu berterima kasih atau bersyukur, maka Umno juga perlu ingat bahawa rakyat juga perlu menerima ucapan terima kasih daripada Umno kerana tanpa undian rakyat, Umno tidak akan memimpin Malaysia selama 53 tahun merdeka.

Saya doakan Umno akan terus berubah demi mengekalkan kesegaran dan relevan kepada rakyat. Apa yang relevan pada tahun 1946 mungkin sudah tidak relevan pada tahun 2010. Pendekatan yang diambil pada tahun 1946 tidak mungkin munasabah untuk digunakan pada tahun 2010.

Walaupun azimat “dulu,kini dan selamanya” membawa pengertian bahawa Umno kekal relevan dan diterima rakyat tetapi azimat itu tidak bererti bahawa Umno perlu dulu,kini dan selamanya mendendangkan isu yang sama,memalukan gendang retorik dan menyediakan sajian politik yang sama sejak 64 tahun yang lepas.

Umno harus berubah atau rakyat yang akan mengubah Umno!

Ahad, 19 September 2010

Sikap keterbukaan Najib terhadap PERKASA dipuji

Komentar terkini PM terhadap peranan dan keujudan PERKASA adalah amat disanjung tinggi. Ini menunjukkan beliau adalah seorang pemimpin yang berpandangan jauh lagi merealisasikan aspirasi rakyat khususnya pandangan ahi PERAKASA terhadap beberapa isu yang telah dibangkitkan.

Tidak seperti komentar beberapa pimpinan UMNO sebelum ini, komentar terbaru presiden UMNO itu sememangnya amat dihargai lagi berpandangan jauh. PERKASA Wilayah Persekutuan menyambut baik komentar tersebut dan yakin bahawa Najib sememangnya memahami serta mendengar segala isu berbangkit yang sering diketangahkan oleh PERKASA selama ini.

PERKASA mempunyai pendekatan tersendiri dalam banyak hal berbanding NGO lain apatah lagi Pertubuhan Politik seperti UMNO. Sehubungan dengan itu, saya yakin mana-mana ahli PERKASA yang juga terlibat dalam mana-mana pertubuhan Politik baik Pro Kerajaan mahupun Pembangkang memahami perkara ini. Anggap sajalah kami ini sebagai “Pressure Group” kepada semua. Kami tahu apa yang kami perjuangkan dan tahu juga kehendak peratusan serta undang-undang Negara dalam hal ini.

Apa yang perjuangkan juga selaras dengan Peruntukkan Perlembagaan dan itu jugalah matlamat perjuangan kami terhadap peribumi serta umat Melayu Negara ini. Sesungguhnya komentar yang dibuat secara negatif oleh beberapa pimpinan UMNO sebelum ini sememangnya kurang cerdik serta tidak kena tempat dan masanya. PERKASA wajar terus bersuara mewakili kepentingan Pribumi serta orang Melayu agar gagasan 1 Malaysia terus mampu berdaya maju dengan turut sama mengambil kira perjuangan yang diperjuangkan oleh PERKASA.

Jika UMNO mahu terus relevan dimata umum, UMNO mestilah bersedia untuk lebih bersifat “Inclusive and Participative” dengan semua pihak khususnya PERAKASA. Jestru itu, komentar PM adalah amat berpatutan dan bijak.

Rabu, 15 September 2010

Dilema Pemimpin Politik Melayu


Nampak gayanya kepimpinan Politik Melayu secara-cara tiba-tiba meloncat menikam PERKASA.. Apa dah jadi kepada UMNO? Hari ini UMNO kelihatan kalah dari segi moral. Sebuah pertubuhan bukan kerajaan seperti Perkasa seolah-olah telah menawan imajinasi orang Melayu dan bukan lagi UMNO . Ironinya mungkin itu yang ada dalam kebanyakkan benak pemikiran sebahagian daripada pemimpin parti melayu terbesar itu. Hanya Perkasa sahaja yang lantang dan berani bercakap mengenai soal orang Melayu, sudah bukan UMNO tapi Perkasa.

Semenjak ianya di tubuhkan di Taman Melawati oleh Ibrahim Ali, Perkasalah dilihat oleh orang Melayu sebagai wadah memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu. 2 perkara utama yang di perjuangkan ialah institusi Raja Melayu dan hak ekonomi orang Melayu. Perkara ini tegas Perkasa, adalah seiring peruntukan Perlembagaan Malaysia. ia tersurat dan tersirat dalam perkara 153 Perlembagaan Malaysia.

Persoalannya dimanakah suara UMNO dalam hal ini? Tidak ada melainkan suara yang menghentam Ibrahim Ali. Ini suatu pendekatan yang kurang cerdik. Kita mengkritik Ibrahim Ali tapi tanpa disedari dia akan terus releven dalam kalbu orang Melayu. Kita membuang masa mengkritik beliau sedangkan mengenali beliau, beliau sama sekali tidak akan perduli sedikit pun dalam hal ini. Apa yang pasti Perkasa akan tetap mendapat sambutan orang Melayu. Orang Melayu enggan mendengar apa Tengku Adnan Mansur atau Nazri Aziz atau Khalid Nordin bahkan apa yang Ketua Pemuda UMNO nyatakan.
Kenapa ini terjadi? Ia terjadi sebab segelintir Pemimpin atasan UMNO bukanlah general yang baik. Anak buah pergi berperang tidak di bekalkan dengan persenjataan yang lengkap. Anak buah pergi bertempur, tidak mendapat sokongan 100%. Punca utama kegagalan pimpinan UMNO dalam hal ini ialah kesalahan Presiden UMNO sendiri. Jika leftenan dan pahlawan UMNO di suruh berperang dengan Ibrahim Ali dan Perkasa berilah mereka alatan secukupnya. Berilah mereka sokongan 100% dan yang tidak berbelah bahagi.

Sehingga kini sikap kepimpinan tertinggi UMNO sangat ambiguos dan ambivalent. Seolah-olah hilang punca dan pendoman dalam banyak hal. UMNO hanya menjadi penari dan bukan lagi pemukul rentak dalam Politik semasa. Gagasan serta harah tuju mula bercelaru, keutamaan sudah terjajar dari objektif awalnya. Persepsi masih lagi gagal diperpetulkan, malah ahli dibawah juga tidak berapa jelas dengan konsep yang diperkenalkan.
Bila dihadapan kongres Ekonomi Perkasa, Pemimpin akan lebih Melayu dari Melayunya Ibrahim Ali serta tidak akan mebelakangkan elemen DEB. manakala didalam Kongress bukan Melayu pula, mereka berkata NEM atau Model Ekonomi Baru lah dasar ekonomi nya. Akhirnya, UMNO tidak akan mendapat sokongan orang Melayu dan hilang kepercayaan orang Cina. Fakta nya, MCA sudah tidak lagi mewakili suara kepentingan orang Cina. Peranan dan fungsi tersebut di ambil alih oleh DAP dan Cina PKR. Saya khuatir yang dipikul bertaburan dan yang digendung berciciran begiotu sahaja.

Jika ada pun perkara yang kita patut hentam ialah bukan Ibrahim Ali tapi idea dan mesej yang hendak dibawanya. Kesilapan yang paling besar yang di lakukan UMNO ialah kegagalan menawarkan idea dan mesej yang lebih baik bagaimana program UMNO lebih baik dari program Ibrahim Ali. Ini yang gagal di lakukan oleh UMNO.

Dimana letaknya punca kegagalan UMNO? Pertama ia disebabkan kegagalan segelintir pimpinan UMNO menyampaikan perutusannya dengan tegas, terang dan nyata. Pimpinan UMNO yang lain pula tidak faham atau tidak berani pula menimbulkan persoalan dengan pemimpin yang ada. natijahnya, inilah yang berlaku.. Idea berbagai gagasan termasuk merangkumi program ekonomi (MEB), idea tentang mereformasikan perkhdimatan Awam dan idea mengenai 1 Malaysia siapa yang bikin? Kesemua idea idea ini kelihatan difikirkan oleh sebuah badan runding cara yang di sampaikan kepada pemimpin untuk dia jadikan fikiran 'orginal' darinya. Sayangnya, idea idea tersebut tidak di fahami oleh pimpinan UMNO yang lain apatah lagi oleh majoriti ahli UMNO. Tidak ada pimpinan UMNO yang bercakap mengenai nya selain dua tiga orang. Kita juga jarang mendengar Ketua Bahagian UMNO mampu bercakap panjang lebar mengenainya. (Khususnya dari perspektif membetulkan salah tanggapan umum)
Maka Perkasa pula terpaksalah menjadi "kambing Hitamnya" Pendekatan UMNO untuk berubah dengan berkawan serta berdampingan dengan NGO sebelumnya telah mula dipertikaikan. Kalau benarlah tanggapan umum bahawa Perkasa kebanyakkannya disenangi oleh ahli UMNO dan segelintir juga dari parti pembangkang. Peranan golongan pendesak kini mula terasak, maka jawabnya tepuk dada tanglah selera.

Khamis, 19 Ogos 2010

Jangan diulangi Tragedi 13 Mei

Perbalahan Kaum boleh berlaku di Malaysia jika kerajaan gagal menangani isu perkauman yang bebas diperdebatkan secara terbuka sekarang ini . Kita tidak perlu bercakap mengenai tragedi 13 Mei 1969, kerana itu hanyalah konflik melibatkan kegelisahan kaum atau social unrest yang kecil sahaja. Kini kita bercakap mengenai 'perang besar' yang boleh meletus, jika keadaan gagal dikawal (oleh kerajaan).

Pelbagai pihak kini sedang membakar semangat antara satu kaum dengan kaum yang lain. Ia termasuklah cubaan untuk menukar Perlembagaan Malaysia sekarang kepada satu Perlembagaan yang baru. Apakah cubaan itu dilakukan kerana pihak-pihak tertentu itu merasakan mereka sudah cukup besar kepala? Apakah cubaan itu dilakukan kerana mereka merasakan kerajaan yang ada sekarang akan tumbang dua tahun lagi?

Jika benar wujudnya dokumen seperti itu, maka benarkan andaian itu. Ini kerana mereka terlalu yakin mereka boleh memerintah kerana pegangan politik Melayu yang dibela oleh Perlembagaan lama, semakin luntur dan mulai terhakis. Satu lakaran baru Perlembagaan Malaysia perlu ditulis cepat bagi menggantikan Perlembagaan lama yang mereka anggap lapuk sebagai persiapan seandainya mereka memerintah kelak. Mereka mahu melukis semula Perlembagaan atas nama sama-rata dan mengeluarkan istilah kontrak sosial, agama Islam - dan mungkin kedudukan raja-raja Melayu - yang bunyinya bagi mereka terlalu kolot?

Ada pihak yang mendedahkan kewujudan Perlembagan baru itu menjelaskan: ''Perlembagan baru itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang." Orang yang mempunyai idea ini cukup berbahaya. Kerajaan harus menanganinya, jika ia terbukti benar, bagi mengelakkan tercetusnya 'perang besar'.

Semua rakyat Malaysia terlalu takut untuk menghadapi situasi 'perang besar' itu. Tiada tempat yang boleh saya lari jika tercetusnya 'perang besar' itu. Bolehkah saya lari ke Singapura, Australia atau New Zealand? Saya tiada sesiapa di situ, apatah lagi tanah sekangkang kera.
Jika ia berlaku, maka ia akan tetap berlaku. Hanya Tuhan Yang Maha Esa sahaja yang akan menentukan nasib negara ini. Jika itu yang Dia mahukan, maka jadilah 'perang besar'.
Tapi, siapa yang akan untung jika berlaku 'perang besar' itu. Orang Melayu, Cina, India atau Pribumi lain? Sekali lagi hanya Dia sahaja Yang Maha Mengetahuinya.

Malaysia sebenarnya dibentuk oleh satu denominasi yang berbeza. Bukan satu, tapi membabitkan pelbagai kaum dan warna kulit serta anutan kepercayaan yang berlainan.
Sukar untuk membentuknya untuk menjadi satu denominasi yang unggul. Usaha ke arah itu sedang dilakukan melalui gagasan 1Malaysia. Mungkin akan tercapai 50 ke 100 tahun lagi, bukan semalaman sebagaimana kepercayaan kebanyakan orang sekarang?

Bangsa Amerika mengambil masa selama 250 tahun untuk melantik seorang yang berkulit hitam sebagai Presiden mereka. Tapi ada syaratnya juga. Orang berkulit hitam itu haruslah seorang yang beragama sama dengan kaum dominan kulit putih. Bolehkah Presiden Amerika seorang yang beragama Islam, misalnya? Mungkin boleh, tapi ia memerlukan 250 tahun lagi?
Kaum Arab, walau macam mana sekali pun mereka berperang mereka masih Arab - satu bahasa, satu agama mungkin sedikit berbeza dari segi aliran mazhab. Begitu juga dengan bangsa Jepun, China dan India. Walaupun mereka bergaduh sekalipun mereka masih merupakan satu denominasi yang unggul, sama warna kulit dan yang penting sama agama.

Tapi, di Malaysia ia berbeza. Melayu, Cina dan India dengan majoritinya (setakat ini masih) Melayu hidup dalam satu negara. Jika kerajaan yang dipimpin oleh majoriti itu kuat, ia hanya boleh mengharmonikan keadaan sahaja. Itu pun jika majoriti itu dapat diterima oleh sesama majoritinya yang lain. Selama beberapa dekad ini Malaysia cukup harmoni. Melayu, Cina dan India serta Pribumi lain hidup dengan harmoni kerana majoriti yang memimpin mereka itu kuat. Namun, sejak kebelakangan ini situasinya sudah berbeza. Ada golongan mahu menangguk di air keruh setelah melihat sistem pertahanan golongan majoriti itu mulai melayu.

Masing-masing mula mahu menegakkan hak masing-masing. Mereka mahu lebih. Masing-masing mahu kelihatan mereka itu dominan. Kaum Y berkompromi dengan Kaum Z untuk menjatuhkan Kaum X bagi membolehkan, mungkin, Kaum Y menguasai negara ini. Jika Kaum Y tidak berkuasa pun mereka mahu diberi peranan yang lebih lagi. Maka itu, pelbagai taktik halus yang cukup strategik sedang dirangka secara teliti untuk membolehkan cita-cita itu dicapai. Rakyat harus dikelirukan. Kaum X,Y dan Z harus dikelirukan. Golongan majoriti yang terkeliru itu kini tercari-cari ranting untuk berpaut. Jika mereka merasakan Kaum Y itu kuat maka majoriti yang sudah minoriti itu akan menyambarnya.

Amat malang sekali kaum majoriti yang kuat satu ketika dulu kerana keupayaannya dapat mengharmonikan X,Y,Z tadi tiba-tiba menjadi minoriti. Mereka sudah berpecah-pecah. Malah ada yang sudah berani dan terbuka mempersendakan dasar DEB yang dibuat khusus untuk kaum majoriti itu dulu! Tapi persoalan besarnya sekarang, apakah kaum yang dikalahkan tadi akan berdiam diri? Apakah pada ketika itu situasi yang kita semua tidak mahu ia berlaku, akan berlaku?

Apakah benar, 'perang besar' boleh berlaku di Malaysia, kita sahaja sebagai rakyat akan menentukannya...

Ahad, 15 Ogos 2010

Penyelesaian terkini dari perspektif Kabinet Malaysia

Tak sampai 2 minggu dibulan Ogos ini, masyarakat dikejutkan dengan tiga berita pembuangan bayi yang menyayat hati. Kes pertama pada 9 Ogos di Pulau Pinang, kes kedua pada 11 Ogos di Ayer Keroh, Melaka dan kes ketiga pada 12 Ogos di Tanah Merah, Kelantan.

Kes yang berturut-turut hari itu membuatkan Kabinet 'naik angin' sehingga memaksa satu keputusan diambil iaitu mengarahkan individu yang terlibat disiasat mengikut Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh atau percubaan bunuh yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 20 tahun.

Sebelum ini, kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak (denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali). Mungkin hukuman itu tidak begitu menggerunkan sehingga tiada sekelumit ketakutan bersarang pada diri mereka yang tergamak melakukannya.Oleh kerana tidak takut, maka mereka sewenang-wenangnya membuang janin atau bayi yang masih bernyawa di tempat-tempat terbuka tanpa mengira waktu sama ada siang atau malam.

Kenapa mereka begitu berani? Mungkin kerana hukuman yang tidak seberapa. Justeru, dengan hukuman mati mandatori itu, kita harap kes-kes pembuangan bayi dapat dikurangkan, jika tidak dapat diselesaikan. Kita juga berharap hukuman berat itu akan memberi kesedaran kepada mereka yang hamil luar nikah supaya segera mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, hospital, polis atau pertubuhan bukan kerajaan.

Mendapatkan kaunseling dan bantuan di tempat-tempat itu sekurang-kurangnya boleh melegakan tekanan yang dihadapi. Ini kerana kita percaya, mereka yang hamil luar nikah akan berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil dengan jiwa yang tidak tenteram. Sebab itulah, mereka tergamak melakukan perbuatan kejam itu tanpa berfikir panjang. Dalam keadaan sekarang, inilah langkah yang perlu segera dilaksanakan. Namun, soalnya, adakah ini akan membuka jalan penyelesaian bagi menangani penyakit sosial yang semakin bernanah di dalam masyarakat kita hari ini?

Mungkin jawapan itu adalah ya. Apa lagi yang boleh kerajaan lakukan memandangkan ibu bapa dan masyarakat nampaknya memilih untuk 'lepas tangan'. Justeru, kerajaan perlu bertindak dan kita harap ia satu langkah yang mampu membendung berleluasanya perbuatan kejam tersebut. Arahan hukuman mati itu perlu diwar-warkan di dalam media terutama media elektronik. Sikap masyarakat kita yang kurang gemar membaca membuatkan saluran elektronik paling berkesan menyampaikan mesej tersebut.

Paparan mengenai hukuman itu boleh diselitkan di dalam rancangan-rancangan realiti yang menjadi kegilaan anak muda sekarang. Brosur, risalah dan lain-lain mengenai hukuman itu boleh ditampal di kawasan tumpuan ramai seperti stesen bas dan LRT, di dalam tren, sekolah, universiti, kilang dan juga di pintu-pintu masuk panggung wayang serta pusat-pusat hiburan.
Walaupun pahit untuk ditelan, namun kita harus terima hakikat bahawa anak-anak muda kita gemar berkunjung ke pusat karaoke, kelab malam dan pusat-pusat hiburan yang mana itulah lokasi yang merampas segala nilai-nilai murni hidup mereka.

Tindakan menutup tempat-tempat itu tidak menyelesaikan masalah kerana bahan-bahan lucah yang merangsang keinginan seks remaja bersepah di luar sana. Ini termasuklah telefon bimbit dan Internet yang merupakan gajet perlu masa kini. Kiriman gambar dan teks lucah kini semakin mudah berpindah tangan. Soalnya, adakah gajet itu juga mahu diharamkan?
Apa pun alasan diberi, tahniah kepada barisan Kabinet yang serius menangani gejala pembuangan bayi.

Ironinya...mengapa pandangan Tokoh Agama dan perspektif Islam jarang mahu kita bincangkan? Tepuk Dada tanya Iman

Rabu, 11 Ogos 2010

Sekolah untuk Remaja hamil satu "PERSIMPANGAN"

Orang kita mudah mencari jalan mengubati berbanding membasmi....Negara kita sudah memiliki berbagai pusat serenti untuk memulih penagih dadah dan Pusat itu dan ini yang seumpamanya. Kini di melaka hendak diujudkan pula pusat serenti untuk remaja yang merancang kehamilan atau terhamil akibat maslah sosial masa kini.

Saya menentang sekeras-kerasnya tindakan pihak kerajaan mewujudkan jawatankuasa pelaksana bagi sekolah remaja hamil. Persoalannya, bukankah mencegah lebih baik daripada mengubati?

Seperti yang telah dikatakan, kita sudah membina dan menguruskan banyak pusat serenti dan pemulihan akhlak bagi remaja yang terlanjur. Sememangnya membantu bagi sesetengah remaja, tetapi sejauh manakah keberkesanannya dalam membentuk sahsiah remaja yang lain?
Ini kerana mereka yang berada di dalam pusat pemulihan akhlak tersebut ialah mereka yang sudah melakar parut di dalam kehidupan sendiri.

Bagaimana pula dengan mereka yang masih berpeleseran di waktu malam di pusat hiburan bersama buah hati pengarang jantung, Pusat Hiburan dan aktiviti bebas dikalangan remaja mana pemantauannya? Remaja Belia negara yang berparti di Disko ! Dengan bangganya menunjukkan gambar mereka di laman web sosial Facebook. Mereka belum melakar parut itu, tetapi merekalah remaja-remaja yang 'merancang kehamilan'.

Sebagai pemimpin komuniti yang kerdil dari akar umbi dan mewakili kebanyakkan rakan seangkatan ingin menyuarakan isi hati kami, bahawa sesungguhnya nilai-nilai keagamaan yang dipelajari di sekolah sekarang ini hanyalah sekadar untuk mendapatkan simbol "A" di skrip jawapan peperiksaan.

Remaja kini mempunyai rakan-rakan yang pelbagai ragam dan gaya hidup. Guru-guru telah berusaha mengajar mereka mengenai ilmu agama. Tetapi malang sekali, mereka hanya belajar kerana peperiksaan. Sejauh manalah konsep 'kemanisan iman' di dalam buku teks Pendidikan Islam itu mampu menyentuh hati-hati remaja yang sentiasa berdarah panas? Ini kerana kekurangan kita iaitu pelajaran berorientasikan peperiksaan masih belum dapat diatasi.

Jangan dicegah aktiviti pemantapan rohani informal yang remaja cari di universiti, masjid dan NGO secara peribadi, dari situlah pemuda-pemudi yang berjiwa bersih dilahirkan. Saya berpendapat bahawa untuk menerapkan Pendidikan Islam di dalam jiwa remaja hamil tidak salah, tetapi apakah sumbangannya kepada juvenil negara secara keseluruhan?
Mengapa fokus diberikan kepada remaja perempuan yang telah hamil dan bukannya kepada remaja yang mempunyai masalah disiplin di sekolah? Bukankah mencegah pelajar-pelajar bermasalah disiplin dari akar umbi itu lebih berkesan?

Adalah baik kiranya pihak kerajaan menggalakkan aktiviti-aktiviti keagamaan di sekolah, surau di kawasan perumahan, dan kursus kepada pelajar bermasalah bagi menerap kefahaman tentang Islam yang sudah terang lagi bersuluh dan memandang hina kepada zina. Fahamkan anak-anak muda tentang konsep 'jauhi zina' yang Islam bawa dan bukannya 'jangan berzina' yang orang kita bawa.

Kementerian belia pula asyik memperuntukkan sejumlah besar wang rakyat kepada pembangunan Sukan semata-mata, mana besarnya peruntukkan untuk pembangunan Insan berbanding sukan? Kursus memantapkan keagamaan Remaja lebih Wajib bberbanding Sukan!

Pihak penguatkuasaan pun begitu juga, jika kita sendiri tidak bertindak siapa lagi? Bukankah yang menjadi mangsanya adalah anak cucu kita sendiri? Fikir-fikrkanlah..sempena Bulan Ramadhan ini

Kefahaman tentang Islam dari dalam hati akan melahirkan pelajar-pelajar bersahsiah tinggi dari semasa ke semasa. Itu satu kebaikan kepada mereka. Didiklah remaja. Kembalikan mereka kepada tujuan asal manusia diciptakan, untuk menjadi seorang khalifah dan beribadah di muka bumi. Huraikan tentang apa yang Allah katakan tentang Khalifah dan Ibadah. Dengan itu, mereka tidak mempunyai masa lagi untuk berfoya-foya. Selaras dengan cabaran masa depan yang bertunjangkan ilmu dan amal.

Sabtu, 31 Julai 2010

Kecaman terhadap kenyataan Bekas Diplomat USA terhadap Perkasa

Kenyataan yang dibuat oleh bekas Duta Amerika ke Malaysia John R. Malott bahawa pertubuhan itu sebuah kumpulan militan dalam rencana di akhbar The Wall Street Journal baru-baru ini, adalah tidak berasas dan bersifat mencampuri politik tanah air Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan Demokrasi yang mana mengamalkan kebebasan untuk bersuara.

Saya anggap dia (Malott) sebagai Nyayok serta Ego tidak bertempat. Tulisan itu tidak betul dan dia seorang bekas diplomat yang berani membuat tuduhan yang tidak bertanggungjawab. Beliau sememangnya telah Nyayok serta hilang pertimbangan bila mengatakan Perkasa adalah kumpulan militan.

Saya ingin tegaskan disini bahawa Perkasa adalah sebuah pertubuhan sah bagi membela bangsa Melayu dan bukan militan yang menggunakan senjata dalam perjuangannya. “Kami tidak ada kena mengena dengan militan. Walaupun kami adalah badan yang lantang, namun banyak lagi badan bukan kerajaan (NGO) lain yang lantang, yang juga memperjuangkan etnik masing-masing di Malaysia ini.

Teguran tersebut nyata didalangi oleh mereka yang berada didalam negara ini sendiri dan telah mula terasa tergugat dengan tindakan serta pendekatan yang dilakukan oleh Perkasa sejak kebelakangan ini.