PENDEDAHAN akhbar ini kelmarin bahawa ada parti politik di negara ini sanggup menaja mahasiswa ke luar negara, termasuk di Indonesia untuk mempelajari dan berlatih cara mengadakan demonstrasi tentunya sesuatu yang mengejutkan. Ibu bapa yang menaruh harapan tinggi terhadap anak mereka yang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) tentu berasa kecewa dan bimbang jika anak mereka turut terbabit. Perkara ini didedahkan sendiri oleh dua mahasiswa yang turut menerima tawaran itu kepada Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi pada satu majlis pertemuan minggu lalu. Tujuan utama kumpulan itu adalah bagi menimbulkan kekacauan dan provokasi kepada pihak berkuasa dengan tujuan menarik perhatian media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing. Adalah tidak wajar mahasiswa diperalatkan untuk tujuan tertentu yang menyalahi etika dan undang-undang negara, apatah lagi dipengaruhi supaya mengadakan demonstrasi jalanan dengan tujuan menimbulkan kekacauan. Laporan itu juga menyatakan pelajar IPT berkenaan dihantar secara berperingkat-peringkat dalam kumpulan 10 orang bagi setiap perjalanan dan tinggal di negara dipilih kira-kira dua minggu. Apabila pulang ke tanah air, mereka akan melatih pula pelajar lain untuk terbabit dalam demonstrasi jalanan itu. Tindakan itu jelas apa yang dilakukan parti berkenaan adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan salah dari segi moral dan etika.
Kita yakin rakyat yang berfikiran waras tidak akan menerima apa yang dilakukan oleh parti terbabit. Bayangkan hancurnya hati ibu bapa pelajar berkenaan yang mengharapkan anak mereka dapat meneruskan pengajian di menara gading untuk menjadi manusia berpelajaran bukan saja bagi diri mereka sendiri tetapi juga untuk agama, bangsa, negara dan keluarga. Mahasiswa IPT tidak sepatutnya dipengaruhi supaya membuat kekacauan semata-mata kerana ingin mencapai agenda politik. Mereka harus dididik menjadi rakyat bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang. Sebaliknya parti politik terbabit mahukan pelajar berkenaan menimbulkan provokasi agar ia mendapat perhatian media asing dengan harapan meraih simpati dunia luar. Mereka juga dijanjikan akan dijulang sebagai wira jika gambar demonstrasi itu disiarkan oleh media antarabangsa. Pendedahan itu dengan sendirinya mengesahkan dakwaan sebelum ini bahawa ada parti politik di negara ini menerima dana asing yang disalurkan menerusi NGO bagi menimbulkan kekacauan di negara ini. Perbuatan parti politik terbabit membuktikan bahawa mereka tidak langsung peka atau peduli dengan masa depan pelajar berkenaan. Apa yang dilakukan mereka ialah memperalat pelajar berkenaan semata-mata untuk mencapai agenda politik sendiri.
Apa pun Justifikasi kedua belah pihak baik Kerajaan mahupun Pembangkang...isu didepan sekarang ini khususnya menjelang Pilihanraya adalah Desakan Pendidikan mahu dibantu terus oleh kerajaan. hasil keputusan PRU13 nanti, sama-samalah kita tengok impaknya..Rakyat didahulukan atau sebaliknya.