Hapuskan Polisi "Black List" Perbaharui Cukai Jalan
1. Saya berharap kerajaan akan mengkaji semula tindakan menyenaraihitamkan kenderaan yang tidak menjelaskan "saman ekor" sehingga tidak dapat memperbaharui cukai jalan.
2. Sungguhpun mereka ini melakukan kesalahan namun menyenaraihitamkan kereta-kereta ini akan menyebabkan pelanggaran undang-undang lain. Terdapat antara mereka yang tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar "saman ekor" mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui cukai jalan. Ini akan membawa implikasi yang lebih serius jika berlaku kemalangan.
3. Kerajaan tidak wajar sama sekali mengaitkan kesalahan memandu laju dengan keperluan undang-undang untuk memperbaharui cukai jalan dan insurans. Apakah yang ada dalam akal fikiran pembuat polisi ini? Kita menghalang mereka yang melanggar satu peraturan dari mematuhi peraturan lain. Janganlah kerana kesalahan saman ekor akan melarat kepada masalah kemalangan jalan raya yang mungkin melibatkan kematian tanpa perlindungan insurans dan cukai jalan. Inilah yang dikatakan lain bengkak, lain pula yang bernanah.
4. Bagi saya, kerajaan harus menarik balik langkah menghalang mereka yang mempunyai tunggakan "saman ekor" dari memperbaharui cukai jalan.
5. Rakyat mempunyai hak untuk mencabar saman ekor ini di mahkamah. Malangnya, ramai yang tidak mengetahui mereka disaman sehinggalah hendak memperbaharui cukai jalan.
6. Justeru peluang untuk mencabar di mahkamah tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa melanggar undang-undang dengan tidak mempunyai cukai jalan dan insurans. Adakah ini adil kepada orang ramai? khususnya yang berada diluar bandar yang rata-rata berpendapatan rendah..Ingat Rakyat didahulukan..
7. Pemimpin politik dan pegawai kerajaan tidak boleh saling tunding-menunding dalam isu ini, sedangkan rakyat di bawah berhadapan dilema bebanan disenaraihitamkan. Pisau dan mentimun ditangan mereka jangan sampai diambil alih oleh rakyat.