Berdasarkan statistik sehingga 30 Jun 2007 yang dikeluarkan Jabatan Imigresen, jumlah pekerja asing mencecah 1.91 juta. Jumlah itu tidak termasuk lebih 400,000 pendatang asing yang dipercayai memasuki negara ini secara haram serta hampir 10,000 tahanan di depoh imigresen.
Pertambahan pekerja asing sememangnya dijangka meningkat secara mendadak berikutan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Statistik unjuran kadar pertambahan penduduk menunjukkan menjelang 2009 pekerja asing di negara ini akan melebihi dua juta orang berbanding penduduk negara ini dijangka meningkat unjuran kepada 28.306 juta. Sesungguhnya pertambahan pekerja asing memang tidak dapat dielakkan, terutama dalam RMK-9 yang memerlukan lebih 1.2 juta pekerja baru bagi memastikan semua sektor dapat digerakkan dengan lancar.
Antara faktor pekerja asing lebih berminat dengan negara kita ialah kemakmuran dan kestabilan ekonominya. Kekurangan tenaga kerja tempatan juga membuka peluang kepada penduduk negara- negara luar untuk mencari rezeki di sini. Walau apa pun ramai penduduk tempatan berpendapat bahawa masalah pekerja asing ini perlu dikawal agar ia tidak menjadi lebih serius.
Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas. Hal ini kerana banyak pekerja asing adalah pendatang haram yang menyusup masuk dengan menggunakan dokumen palsu. Akta imigresen perlulah lebih tegas agar pendatang haram ini tidak berani bertindak lebih jauh. Perairan negara juga haruslah dikawal sepanjang masa untuk mengelakkan mereka menyusup melalui jalan laut.
Tidak dapat dinafikan, kadangkala pekerja asing dapat mengatasi masalah kekurangan pekerja tetapi hal yang berlaku di Nilai dimana pekerja asing ini juga boleh merusuh menyedarkan negara bahawa mereka juga boleh bertindak ganas. Kita tidak mahu negara yang cukup aman ini akan menjadi kacau bilau kerana kemasukan pekerja asing yang tidak dikawal.
Sesetengah pihak juga sering menyalahkan belia kerana terlalu memilih pekerjaan tetapi pernahkah mereka cuba untuk memahami masalah belia itu sendiri? Sebagai contoh walaupun belia itu tidak memilih pekerjaan tetapi adakah majikan akan mengambil pekerja tempatan dan dibayar dengan gaji yang berpatutan. Sudah tentu tidak. Majikan lebih rela mengambil pekerja asing dengan bayaran yang murah dan tidak dikenakan caruman EPF atau SOCSO. Bukankah itu lebih menguntungkan? Begitu juga sekiranya belia itu mendapat pekerjaan yang dimintanya tetapi hidup dalam suasana dikalangan pekerja asing. Dapatkah belia itu menyesuaikan diri dalam keadaan sebegitu?
Penduduk tempatan kadangkala tidak menghiraukan sangat dengan kebanjiran pekerja asing. Apatah lagi jika kedatangan pekerja asing ini melancarkan lagi urusan harian mereka dengan bekerja sebagai pembantu rumah, menjaga anak, atau tukang kebun. Tetapi jika kehadiran pekerja asing ini menimbulkan pelbagai kes-kes jenayah seperti membunuh, samun bersenjata api, merogol, pecah rumah, ragut dan banyak lagi maka inilah yang menyedarkan mereka tentang keburukan pekerja asing. Menurut Jabatan Imigresen dengan kerjasama Jabatan Polis, sehingga 30 Jun 2006 bilangan pendatang asing yang telah ditahan dan diusir di seluruh Malaysia ialah seramai 362,958 kerana melakukan pelbagai kesalahan di negara ini.
Walau apa jua pendapat masyarakat tentang isu ini, kedatangan pekerja asing ini tetap ada keburukan dan kebaikannya. Terpulanglah kepada polisi kerajaan sama ada ingin kebaikan atau menghadapi masalah dengan isu ini. Untuk mencapai yang terbaik, kerajaan haruslah mengkaji segala aspek dari segi ekonomi, politik, dan sosial agar kedatangan pandatang asing ini dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara.