Perbalahan Kaum boleh berlaku di Malaysia jika kerajaan gagal menangani isu perkauman yang bebas diperdebatkan secara terbuka sekarang ini . Kita tidak perlu bercakap mengenai tragedi 13 Mei 1969, kerana itu hanyalah konflik melibatkan kegelisahan kaum atau social unrest yang kecil sahaja. Kini kita bercakap mengenai 'perang besar' yang boleh meletus, jika keadaan gagal dikawal (oleh kerajaan).
Pelbagai pihak kini sedang membakar semangat antara satu kaum dengan kaum yang lain. Ia termasuklah cubaan untuk menukar Perlembagaan Malaysia sekarang kepada satu Perlembagaan yang baru. Apakah cubaan itu dilakukan kerana pihak-pihak tertentu itu merasakan mereka sudah cukup besar kepala? Apakah cubaan itu dilakukan kerana mereka merasakan kerajaan yang ada sekarang akan tumbang dua tahun lagi?
Jika benar wujudnya dokumen seperti itu, maka benarkan andaian itu. Ini kerana mereka terlalu yakin mereka boleh memerintah kerana pegangan politik Melayu yang dibela oleh Perlembagaan lama, semakin luntur dan mulai terhakis. Satu lakaran baru Perlembagaan Malaysia perlu ditulis cepat bagi menggantikan Perlembagaan lama yang mereka anggap lapuk sebagai persiapan seandainya mereka memerintah kelak. Mereka mahu melukis semula Perlembagaan atas nama sama-rata dan mengeluarkan istilah kontrak sosial, agama Islam - dan mungkin kedudukan raja-raja Melayu - yang bunyinya bagi mereka terlalu kolot?
Ada pihak yang mendedahkan kewujudan Perlembagan baru itu menjelaskan: ''Perlembagan baru itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang." Orang yang mempunyai idea ini cukup berbahaya. Kerajaan harus menanganinya, jika ia terbukti benar, bagi mengelakkan tercetusnya 'perang besar'.
Semua rakyat Malaysia terlalu takut untuk menghadapi situasi 'perang besar' itu. Tiada tempat yang boleh saya lari jika tercetusnya 'perang besar' itu. Bolehkah saya lari ke Singapura, Australia atau New Zealand? Saya tiada sesiapa di situ, apatah lagi tanah sekangkang kera.
Jika ia berlaku, maka ia akan tetap berlaku. Hanya Tuhan Yang Maha Esa sahaja yang akan menentukan nasib negara ini. Jika itu yang Dia mahukan, maka jadilah 'perang besar'.
Tapi, siapa yang akan untung jika berlaku 'perang besar' itu. Orang Melayu, Cina, India atau Pribumi lain? Sekali lagi hanya Dia sahaja Yang Maha Mengetahuinya.
Malaysia sebenarnya dibentuk oleh satu denominasi yang berbeza. Bukan satu, tapi membabitkan pelbagai kaum dan warna kulit serta anutan kepercayaan yang berlainan.
Sukar untuk membentuknya untuk menjadi satu denominasi yang unggul. Usaha ke arah itu sedang dilakukan melalui gagasan 1Malaysia. Mungkin akan tercapai 50 ke 100 tahun lagi, bukan semalaman sebagaimana kepercayaan kebanyakan orang sekarang?
Bangsa Amerika mengambil masa selama 250 tahun untuk melantik seorang yang berkulit hitam sebagai Presiden mereka. Tapi ada syaratnya juga. Orang berkulit hitam itu haruslah seorang yang beragama sama dengan kaum dominan kulit putih. Bolehkah Presiden Amerika seorang yang beragama Islam, misalnya? Mungkin boleh, tapi ia memerlukan 250 tahun lagi?
Kaum Arab, walau macam mana sekali pun mereka berperang mereka masih Arab - satu bahasa, satu agama mungkin sedikit berbeza dari segi aliran mazhab. Begitu juga dengan bangsa Jepun, China dan India. Walaupun mereka bergaduh sekalipun mereka masih merupakan satu denominasi yang unggul, sama warna kulit dan yang penting sama agama.
Tapi, di Malaysia ia berbeza. Melayu, Cina dan India dengan majoritinya (setakat ini masih) Melayu hidup dalam satu negara. Jika kerajaan yang dipimpin oleh majoriti itu kuat, ia hanya boleh mengharmonikan keadaan sahaja. Itu pun jika majoriti itu dapat diterima oleh sesama majoritinya yang lain. Selama beberapa dekad ini Malaysia cukup harmoni. Melayu, Cina dan India serta Pribumi lain hidup dengan harmoni kerana majoriti yang memimpin mereka itu kuat. Namun, sejak kebelakangan ini situasinya sudah berbeza. Ada golongan mahu menangguk di air keruh setelah melihat sistem pertahanan golongan majoriti itu mulai melayu.
Masing-masing mula mahu menegakkan hak masing-masing. Mereka mahu lebih. Masing-masing mahu kelihatan mereka itu dominan. Kaum Y berkompromi dengan Kaum Z untuk menjatuhkan Kaum X bagi membolehkan, mungkin, Kaum Y menguasai negara ini. Jika Kaum Y tidak berkuasa pun mereka mahu diberi peranan yang lebih lagi. Maka itu, pelbagai taktik halus yang cukup strategik sedang dirangka secara teliti untuk membolehkan cita-cita itu dicapai. Rakyat harus dikelirukan. Kaum X,Y dan Z harus dikelirukan. Golongan majoriti yang terkeliru itu kini tercari-cari ranting untuk berpaut. Jika mereka merasakan Kaum Y itu kuat maka majoriti yang sudah minoriti itu akan menyambarnya.
Amat malang sekali kaum majoriti yang kuat satu ketika dulu kerana keupayaannya dapat mengharmonikan X,Y,Z tadi tiba-tiba menjadi minoriti. Mereka sudah berpecah-pecah. Malah ada yang sudah berani dan terbuka mempersendakan dasar DEB yang dibuat khusus untuk kaum majoriti itu dulu! Tapi persoalan besarnya sekarang, apakah kaum yang dikalahkan tadi akan berdiam diri? Apakah pada ketika itu situasi yang kita semua tidak mahu ia berlaku, akan berlaku?
Apakah benar, 'perang besar' boleh berlaku di Malaysia, kita sahaja sebagai rakyat akan menentukannya...
Khamis, 19 Ogos 2010
Jangan diulangi Tragedi 13 Mei
Ahad, 15 Ogos 2010
Penyelesaian terkini dari perspektif Kabinet Malaysia
Tak sampai 2 minggu dibulan Ogos ini, masyarakat dikejutkan dengan tiga berita pembuangan bayi yang menyayat hati. Kes pertama pada 9 Ogos di Pulau Pinang, kes kedua pada 11 Ogos di Ayer Keroh, Melaka dan kes ketiga pada 12 Ogos di Tanah Merah, Kelantan.
Kes yang berturut-turut hari itu membuatkan Kabinet 'naik angin' sehingga memaksa satu keputusan diambil iaitu mengarahkan individu yang terlibat disiasat mengikut Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh atau percubaan bunuh yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 20 tahun.
Sebelum ini, kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak (denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali). Mungkin hukuman itu tidak begitu menggerunkan sehingga tiada sekelumit ketakutan bersarang pada diri mereka yang tergamak melakukannya.Oleh kerana tidak takut, maka mereka sewenang-wenangnya membuang janin atau bayi yang masih bernyawa di tempat-tempat terbuka tanpa mengira waktu sama ada siang atau malam.
Kenapa mereka begitu berani? Mungkin kerana hukuman yang tidak seberapa. Justeru, dengan hukuman mati mandatori itu, kita harap kes-kes pembuangan bayi dapat dikurangkan, jika tidak dapat diselesaikan. Kita juga berharap hukuman berat itu akan memberi kesedaran kepada mereka yang hamil luar nikah supaya segera mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, hospital, polis atau pertubuhan bukan kerajaan.
Mendapatkan kaunseling dan bantuan di tempat-tempat itu sekurang-kurangnya boleh melegakan tekanan yang dihadapi. Ini kerana kita percaya, mereka yang hamil luar nikah akan berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil dengan jiwa yang tidak tenteram. Sebab itulah, mereka tergamak melakukan perbuatan kejam itu tanpa berfikir panjang. Dalam keadaan sekarang, inilah langkah yang perlu segera dilaksanakan. Namun, soalnya, adakah ini akan membuka jalan penyelesaian bagi menangani penyakit sosial yang semakin bernanah di dalam masyarakat kita hari ini?
Mungkin jawapan itu adalah ya. Apa lagi yang boleh kerajaan lakukan memandangkan ibu bapa dan masyarakat nampaknya memilih untuk 'lepas tangan'. Justeru, kerajaan perlu bertindak dan kita harap ia satu langkah yang mampu membendung berleluasanya perbuatan kejam tersebut. Arahan hukuman mati itu perlu diwar-warkan di dalam media terutama media elektronik. Sikap masyarakat kita yang kurang gemar membaca membuatkan saluran elektronik paling berkesan menyampaikan mesej tersebut.
Paparan mengenai hukuman itu boleh diselitkan di dalam rancangan-rancangan realiti yang menjadi kegilaan anak muda sekarang. Brosur, risalah dan lain-lain mengenai hukuman itu boleh ditampal di kawasan tumpuan ramai seperti stesen bas dan LRT, di dalam tren, sekolah, universiti, kilang dan juga di pintu-pintu masuk panggung wayang serta pusat-pusat hiburan.
Walaupun pahit untuk ditelan, namun kita harus terima hakikat bahawa anak-anak muda kita gemar berkunjung ke pusat karaoke, kelab malam dan pusat-pusat hiburan yang mana itulah lokasi yang merampas segala nilai-nilai murni hidup mereka.
Tindakan menutup tempat-tempat itu tidak menyelesaikan masalah kerana bahan-bahan lucah yang merangsang keinginan seks remaja bersepah di luar sana. Ini termasuklah telefon bimbit dan Internet yang merupakan gajet perlu masa kini. Kiriman gambar dan teks lucah kini semakin mudah berpindah tangan. Soalnya, adakah gajet itu juga mahu diharamkan?
Apa pun alasan diberi, tahniah kepada barisan Kabinet yang serius menangani gejala pembuangan bayi.
Ironinya...mengapa pandangan Tokoh Agama dan perspektif Islam jarang mahu kita bincangkan? Tepuk Dada tanya Iman
Rabu, 11 Ogos 2010
Sekolah untuk Remaja hamil satu "PERSIMPANGAN"
Orang kita mudah mencari jalan mengubati berbanding membasmi....Negara kita sudah memiliki berbagai pusat serenti untuk memulih penagih dadah dan Pusat itu dan ini yang seumpamanya. Kini di melaka hendak diujudkan pula pusat serenti untuk remaja yang merancang kehamilan atau terhamil akibat maslah sosial masa kini.
Saya menentang sekeras-kerasnya tindakan pihak kerajaan mewujudkan jawatankuasa pelaksana bagi sekolah remaja hamil. Persoalannya, bukankah mencegah lebih baik daripada mengubati?
Seperti yang telah dikatakan, kita sudah membina dan menguruskan banyak pusat serenti dan pemulihan akhlak bagi remaja yang terlanjur. Sememangnya membantu bagi sesetengah remaja, tetapi sejauh manakah keberkesanannya dalam membentuk sahsiah remaja yang lain?
Ini kerana mereka yang berada di dalam pusat pemulihan akhlak tersebut ialah mereka yang sudah melakar parut di dalam kehidupan sendiri.
Bagaimana pula dengan mereka yang masih berpeleseran di waktu malam di pusat hiburan bersama buah hati pengarang jantung, Pusat Hiburan dan aktiviti bebas dikalangan remaja mana pemantauannya? Remaja Belia negara yang berparti di Disko ! Dengan bangganya menunjukkan gambar mereka di laman web sosial Facebook. Mereka belum melakar parut itu, tetapi merekalah remaja-remaja yang 'merancang kehamilan'.
Sebagai pemimpin komuniti yang kerdil dari akar umbi dan mewakili kebanyakkan rakan seangkatan ingin menyuarakan isi hati kami, bahawa sesungguhnya nilai-nilai keagamaan yang dipelajari di sekolah sekarang ini hanyalah sekadar untuk mendapatkan simbol "A" di skrip jawapan peperiksaan.
Remaja kini mempunyai rakan-rakan yang pelbagai ragam dan gaya hidup. Guru-guru telah berusaha mengajar mereka mengenai ilmu agama. Tetapi malang sekali, mereka hanya belajar kerana peperiksaan. Sejauh manalah konsep 'kemanisan iman' di dalam buku teks Pendidikan Islam itu mampu menyentuh hati-hati remaja yang sentiasa berdarah panas? Ini kerana kekurangan kita iaitu pelajaran berorientasikan peperiksaan masih belum dapat diatasi.
Jangan dicegah aktiviti pemantapan rohani informal yang remaja cari di universiti, masjid dan NGO secara peribadi, dari situlah pemuda-pemudi yang berjiwa bersih dilahirkan. Saya berpendapat bahawa untuk menerapkan Pendidikan Islam di dalam jiwa remaja hamil tidak salah, tetapi apakah sumbangannya kepada juvenil negara secara keseluruhan?
Mengapa fokus diberikan kepada remaja perempuan yang telah hamil dan bukannya kepada remaja yang mempunyai masalah disiplin di sekolah? Bukankah mencegah pelajar-pelajar bermasalah disiplin dari akar umbi itu lebih berkesan?
Adalah baik kiranya pihak kerajaan menggalakkan aktiviti-aktiviti keagamaan di sekolah, surau di kawasan perumahan, dan kursus kepada pelajar bermasalah bagi menerap kefahaman tentang Islam yang sudah terang lagi bersuluh dan memandang hina kepada zina. Fahamkan anak-anak muda tentang konsep 'jauhi zina' yang Islam bawa dan bukannya 'jangan berzina' yang orang kita bawa.
Kementerian belia pula asyik memperuntukkan sejumlah besar wang rakyat kepada pembangunan Sukan semata-mata, mana besarnya peruntukkan untuk pembangunan Insan berbanding sukan? Kursus memantapkan keagamaan Remaja lebih Wajib bberbanding Sukan!
Pihak penguatkuasaan pun begitu juga, jika kita sendiri tidak bertindak siapa lagi? Bukankah yang menjadi mangsanya adalah anak cucu kita sendiri? Fikir-fikrkanlah..sempena Bulan Ramadhan ini
Kefahaman tentang Islam dari dalam hati akan melahirkan pelajar-pelajar bersahsiah tinggi dari semasa ke semasa. Itu satu kebaikan kepada mereka. Didiklah remaja. Kembalikan mereka kepada tujuan asal manusia diciptakan, untuk menjadi seorang khalifah dan beribadah di muka bumi. Huraikan tentang apa yang Allah katakan tentang Khalifah dan Ibadah. Dengan itu, mereka tidak mempunyai masa lagi untuk berfoya-foya. Selaras dengan cabaran masa depan yang bertunjangkan ilmu dan amal.