ORANG tua-tua selalu berpesan, "bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar." Ini kerana jika tersalah cakap akan mengundang masalah yang lebih besar.
Itulah yang berlaku kepada penulis blog Aduka Taruna apabila dikecam pelbagai pihak ekoran tulisannya yang didakwa menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail yang mangkat Jumaat lalu.
Walaupun penulis itu telah memohon maaf secara terbuka setelah menyedari kesilapannya, tetapi menarik balik kata-kata tidak semudah mengundur perahu. Tulisan itu memberi kesan besar kepada kedaulatan raja-raja dan adab sopan bangsa Melayu.
Kes-kes penulis blog yang melampau batas dan menulis mengikut perasaan tanpa menilai kesannya, sudah kerap berlaku. Namun setakat ini tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa.
Apatah lagi kerajaan juga tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap kes terbaru ini kerana penulis blog itu telah memohon maaf secara terbuka. Kita menghormati keputusan yang diambil oleh kerajaan tetapi dalam masa yang sama kita merasakan perkara-perkara seumpama ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
Apabila lebih 31 laporan polis dibuat terhadap penulis blog tersebut, ia bukan sesuatu yang harus dipandang ringan. Ia membayangkan kemarahan orang ramai terhadap kebiadaban penulis itu.Membiarkan penulis celupar seperti itu terlepas begitu sahaja daripada sebarang tindakan seolah-olah memberi contoh yang tidak baik kepada penulis-penulis lain.
Ia membawa mesej bahawa undang-undang yang ada terlampau longgar dan kesalahan sebegitu boleh diselesaikan dengan hanya memohon maaf sahaja.
Pengendali laman web dan penulis blog perlu diberi kefahaman bahawa kebebasan menulis dan mengeluarkan pandangan tidak sepatutnya disalahgunakan. Setiap kebebasan ada hadnya.
Kemajuan teknologi komunikasi adalah untuk kebaikan manusia tetapi jika disalahgunakan, ia boleh mendatangkan impak yang tidak baik kepada semua pihak. Lebih-lebih lagi dalam masyarakat majmuk, kebebasan melampau cukup berbahaya dan boleh mendatangkan kesan negatif. Kawalan terhadap 'kebebasan' ini masih diperlukan.
Sehubungan itu, ketegasan kerajaan dalam menangani isu-isu sebegini amat diperlukan. Tutup sahaja blog-blog yang tidak beretika ini dan bawa penulisnya ke muka pengadilan.
Dalam hal ini, kita perlu mencontohi negara-negara lain termasuk di Barat. Walaupun memperjuangkan kebebasan bersuara, namun blog-blog yang tidak beretika tetap disekat dan dilarang penyiarannya.
Kerajaan tidak boleh lagi berlembut dengan golongan yang cetek akal ini. Sudah sampai masanya mereka diberi 'pengajaran' yang berguna supaya kes-kes seumpama ini tidak berulang lagi.
Rabu, 27 Januari 2010
Penulisan Blog yang membawa padah
Ahad, 17 Januari 2010
Cabaran penulisan dunia cyber terkini
Baru-baru ini seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) didakwa di Mahkamah Seksyen Petaling Jaya kerana menghantar komen yang berunsur ugutan di laman sosial Facebook. Beliau menghantar komen ke laman Facebook individu lain mengenai isu sensitif kalimah Allah yang mahu digunakan oleh penganut Kristian.
Isu kalimah Allah berlarutan kepada insiden melontarkan bom petrol pada beberapa gereja di Lembah Kelang hingga menimbulkan kebimbangan kalangan rakyat. Kedua-dua kejadian ini adalah suatu yang sensitif dan boleh mencetuskan sentimen antara kaum dan agama.
Facebook merupakan salah satu laman sosial yang ditawarkan bersama kecanggihan teknologi di dunia siber. Dengan kos yang sangat minimum atau tidak mengenakan kos langsung, setiap individu boleh menjadi pemain dalam ledakan kecanggihan dunia siber. Mereka boleh mencambahkan dan mendapatkan maklumat, atau mengutarakan pandangan tanpa sebarang tapisan. Tetapi malangnya definisi “tanpa tapisan” ini selalu difahami sebagai terlepas daripada tindakan undang-undang.
Kes pelajar menghantar komen didakwa berbaur ugutan adalah yang terbaru dan sekaligus membuktikan dunia siber juga tidak pernah menjanjikan kebebasan tanpa had. Tetap ada peruntukan undang-undang untuk memastikan mereka yang menyalahgunakan kecanggihan dalam dunia siber dikenakan tindakan.
Banyak pihak menganggap apabila mereka bebas mengutarakan pandangan atau komentar, ini bermakna mereka bebas daripada sebarang tindakan undang-undang. Lebih buruk lagi apabila mereka menganggap penyebaran berbaur fitnah, ugutan atau penyebaran maklumat yang boleh menjejaskan ketenteraman awam sebagai satu kebebasan.
Apabila e-mel mengambil alih peranan surat konvensional ketika Internet mula-mula diperkenalkan di negara ini, ada pihak yang menulis “e-mel layang”. Dulunya ini dilakukan secara tradisional menerusi “surat layang.” Banyak yang percaya e-mel atau surat elektronik ini terlepas daripada tindakan undang-undang berbanding surat biasa.
Kemudian apabila diperkenalkan istilah citizen journalist menerusi kemunculan berjuta-juta blogger yang mempunyai laman blog sendiri, khalayak mendapat begitu banyak maklumat sahih dan juga palsu. Ketika ini semua orang boleh memiliki “surat khabar” sendiri apabila mempunyai laman blog atau laman web. Ini bermakna semua orang boleh menjadi wartawan dan menyiarkan pandangan mereka untuk tatapan umum.
Sebelum ini ada beberapa blogger yang mendepani tindakan undang-undang kerana isi kandungan dalam blog berkenaan dikatakan berbaur fitnah. Blogger Jeff Ooi, Ahiruddin Atan, Raja Petra Kamaruddin dan Syed Azidi antara yang pernah mendepani tindakan undang-undang berhubung isi kandungan dalam blog masing-masing.
Contoh itu mahu membuktikan bahawa dunia siber hanya menyediakan premis yang bebas untuk menyiarkan apa saja kepada khalayak. Tetapi dalam masa yang sama tidak bermakna bebas daripada tindakan undang-undang sekiranya ada pihak yang menganggap penyiaran itu fitnah kepada mereka.
Dengan kewujudan media baru seperti laman sosial, blog dan laman web, khalayak dituntut menggunakan kewarasan untuk memanfaatkan kecanggihan teknologi komunikasi yang ditawarkan menerusi dunia siber. Tetapi disebabkan oleh sesiapa saja boleh memberi pandangan dan menyiarkan untuk tatapan umum, maka wujudlah salah tafsir mengenai suatu yang dikelaskan sebagai fitnah, ugutan dan sebagainya.
Sebelum ini penerbitan bercetak yang banyak diambil tindakan undang-undang oleh individu yang merasakan mereka difitnah atau dimalukan dalam penerbitan berkenaan. Penerbitan bercetak sentiasa diawasi oleh Akta Mesin Cetak, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau Akta Rahsia Rasmi (OSA). Penerbitan bercetak tidak boleh bermain dengan isu yang menyentuh kaum dan agama. Tindakan sedang menanti mereka. Selain itu penerbitan bercetak juga bebas diambil tindakan undang-undang oleh individu apabila isi kandungan dianggap sebagai menyentuh peribadi mereka.
Penerbitan bercetak berkerja dalam satu lingkungan yang sentiasa diawasi dengan ketat oleh bermacam-macam akta. Tetapi secara positifnya Ini dengan sendiri membentuk self-censorship yang tinggi untuk menilai sesuatu isi kandungan itu akan memudaratkan keharmonian negara atau sebaliknya. Ini kerana penerbitan bercetak lebih mudah dipantau berbanding media baru yang lahir dalam dunia siber.
Dengan kemunculan berjuta-juta blog, peserta dalam laman sosial selain laman web yang pelbagai, pemantauan terhadap penyiaran isi kandungan yang sensitif tidak dapat dilakukan dengan segera. Kalau dipantau sekalipun tindakan undang-undang tidak diambil dengan segera. Keadaan ini mengiyakan persepsi bahawa dunia siber semuanya bebas.
Maka yang kelihatan tidak bebas adalah penerbitan bercetak dan yang kononnya bebas adalaj penerbitan media baru di dunia siber. Sekalipun tanggapan ini tidak benar tetapi secara tidak langsung telah membentuk persepsi bahawa “kebebasan” ada di dunia siber.
Kecanggihan teknologi dunia siber sebenarnya memberikan banyak manfaat kepada rakyat khususnya untuk mendapat maklumat. Kini kita berada pada era limpahan maklumat dan tentunya suatu yang baik kepada semua orang. Lambakan maklumat juga ada masalahnya apabila individu di dunia siber tidak semuanya mempunyai kredibiliti untuk diterima sebagai pemberi maklumat yang sahih. Lebih teruk lagi bukan saja tidak sahih tetapi sengaja dilencongkan kepada maksud lain.
Di peringkat inilah kecanggihan dunia siber mendatangkan keburukan kepada khalayak. Semuanya kerana disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk menyebarkan isi kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian negara. Kebebasan menyiarkan maklumat atau pandangan telah digunakan untuk menyebarluaskan fitnah atau maklumat palsu yang menggoncang kestabilan negara atau untuk menjejaskan kredibiliti individu tertentu.
Kita kena realistik bahawa penerbitan di dunia siber negara ini terlalu bebas. Ia seolah-olah tidak ada pemantauan seperti yang dilakukan terhadap penerbitan bercetak. Mereka yang mengendalikan penerbitan siber bukan saja bebas menyiarkan maklumat tetapi juga bebas daripada tindakan undang-undang. Walaupun ada beberapa kes yang disebutkan di atas tadi tetapi ini sekadar membuktikan ada peruntukan undang-undang terhadap dunia siber. Bagaimanapun tidak ada tindakan yang boleh dijadikan iktibar oleh pihak lain.
Ini dibuktikan sebahagian daripada blog, komen-komen dalam laman sosial serta khidmat pesanan ringkas (SMS) bukan saja maklumat yang palsu tetapi boleh menggugat keharmonian negara. Komen-komen terhadap isu-isu yang melibatkan politik dan agama dibuat sewenang-wenang dengan unsur-unsur yang berbaur perkauman. Ini tidak boleh dilakukan sama sekali oleh penerbitan bercetak.
Mempunyai peruntukan undang-undang dan melaksanakan undang-undang adalah dua perkara yang berbeza. Peruntukkan undang-undang menuntut ia dilaksanakan sebaik mungkin. Ini adalah untuk memberi keadilan kepada individu yang menjadi mangsa kepada pengamal dalam dunia siber. Fitnah, hasutan atau ugutan tetap mempunyai makna yang sama tidak kira dalam dunia siber atau sebaliknya.
Kita semua percaya dalam isu kalimah Allah dan juga membakar gereja, bukanlah pelajar Aswara itu saja yang menghantar komen yang boleh ditafsirkan sebagai ugutan. Maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa isu yang sensitif seperti itu telah bersarang di laman-laman web atau laman-laman sosial di negara ini.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim menganggap penguatkuasaan yang lemah menjadi punca utama penyebaran fitnah yang berleluasa di dunia siber. Sebaliknya beliau percaya, sekiranya penguatkuasaan dilaksanakan banyak bloger dan pengguna Internet tidak boleh bermaharajalela menyebarkan fitnah.
Semua yang bersifat fitnah, ugutan atau hasutan boleh diambil tindakan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia. Tindakan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ada dalam peruntukkan undang-undang. Sebagai bukti, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah mengemukakan 18 kes bawah perkara 232 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kepada pihak pendakwa tetapi masih belum ada pendakwaan. Kenapa?
Melaksanakan dengan tegas Akta Komunikasi dan Multimedia bukanlah menyekat kebebasan bersuara seperti yang dilaung-laungkan oleh pihak tertentu. Dalam kehidupan manusia tidak ada kebebasan yang mutlak dan perkara ini mesti difahami sekiranya kerajaan mengambil tindakan kepada mereka yang melanggar akta tersebut.
Peruntukkan undang-undang berkaitan dunia siber adalah untuk menyekat segelintir pengguna yang tidak beretika atau sengaja mengambil peluang untuk mencetuskan keadaan tidak harmoni. Pada masa ini memberi banyak manfaat kepada majoriti khalayak yang lain. Sekiranya kerajaan berfikiran sempit tidak memberi kebebasan, sudah tentu tidak diperkenalkan Internet. Maka untuk menikmati kebebasan yang lebih bermakna kita perlulah mengorbankan kebebasan mutlak yang membawa banyak keburukan daripada kebaikan.
Jumaat, 8 Januari 2010
Laporan Polis terhadap Raja Petra
Hampir 50 wakil Perkasa Wilayah Persekutuan telah bersama saya semasa membuat repot Polis berhubung pelakuan terkini penulis blog YM Raja Petra Kamaruddin yang cenderung menghasut rakyat Malaysia menghapuskan Institusi Raja dan menjadikan Malaysia sebuah Negara Republik. Semua yang telah memberi kerjasama, terima kasih saya ucapkan.
Rabu, 6 Januari 2010
Sambutan tahun baru serlah keruntuhan akhlak generasi muda
BEBERAPA hari lalu penduduk di seluruh dunia menyambut tahun baru. Ada yang meraikannya dengan program keagamaan atau pesta dan hiburan. Di bandar besar sambutan dengan nyalaan bunga api yang sebelumnya disusuli konsert sudah menjadi amalan masyarakat pada hari ini. Negara kita juga tidak terlepas daripada bahang sambutan tahun baru. Sambutan detik 12 malam diadakan di merata tempat. Masing-masing begitu teruja meninggalkan 2009 dan melangkah ke tahun baru. Namun, amat menyedihkan apabila kita perhatikan cara sambutan masyarakat Malaysia kini. Malam tahun baru adalah masa paling sibuk bagi penguat kuasa jabatan agama Islam di seluruh negara melakukan operasi mencegah pasangan khalwat termasuk dalam kereta atau di hotel murah. Isu ini jarang didebatkan kenapa? Jenerasi sebeginikah kita harapkan mendokong kecemerlangan 2020 nanti. Sudut agamanya jauh sekali...
Bagi pasangan itu, sambutan tahun baru lebih bermakna jika dapat bermadu kasih dan memenuhi nafsu yang terpendam selama ini. Tidak dilupakan ialah sambutan tahun baru dengan lumba haram yang dianjurkan anak muda. Ia juga malam bagi mat rempit menggadai nyawa. Walaupun operasi dan sekatan jalan raya dilakukan secara bersepadu oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan pada malam sambutan tahun baru, itu semua tidak pernah diendahkan.
Kedegilan mereka merempuh sekatan jalan raya membimbangkan kita. Dalam kepesatan pembangunan negara hari ini, krisis jati diri semakin parah dan menggusarkan kita. Mana tidaknya, agama tidak lagi dijadikan sandaran dalam kehidupan, sebaliknya terus disisihkan. Nilai moral bukan menjadi pegangan, tetapi budaya hedonisme jadi ikutan. Cara pemakaian bohemian terus menjadi trend, sekali gus menyumbang kehancuran akhlak generasi muda. Hatta nak memperkatakan significantnya kalimah Allah dalam hidup mereka, apa tah lagi.
Sabtu, 2 Januari 2010
penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain
Penggunaan nama Allah oleh penganut lain selain Islam bukan gejala baru tetapi telah lama berlaku dinegara asing...Apa yang perlu difikirkan, bagaimana kita semua samada individu, keluarga, masyarakat, NGO mahupun kerajaan mencari jalan memantapkan lagi kekuatan umat Islam dinegara ini agar falsafah serta pengajaran surah Al-Ikhlas dapat menjadi pendoman semua. Program berteraskan Aqidah mesti banyak berbanding penganjuran majlis Sosial serta Hiburan yang melampau. Ini termasuklah di semua media Cetak mahupun media Elektronik. Umat Islam wajar punyai jatidiri sendiri dalam hal ini. Tepuk dada tanya iman.